MBI galak peniaga Bazar Ramadan sekitar Ipoh sediakan menu Rahmah

13/02/2023 04:59 PM

IPOH, 13 Feb (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menggalakkan peniaga Bazar Ramadan di sekitar Ipoh menyediakan Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 kepada pelanggan bagi membantu meringankan beban orang ramai terutama golongan B40.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, berkata selain pelaksanaan Menu Rahmah, jualan makanan dengan harga lebih berpatutan juga perlu diperkenalkan.

“Saya menggalakkan seramai mungkin peniaga menyertai program Menu Rahmah bagi membantu pembeli yang berpendapatan rendah dan perkara ini baik untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kafe Lalaland, di sini, hari ini.

Rumaizi berkata MBI akan mengkaji penambahan permohonan sebanyak tiga tapak Bazar Ramadan di sekitar Ipoh susulan rungutan peniaga yang tidak sempat mendapatkan tapak kerana permohonan telah ditutup.

“Setakat ini, sebanyak 19 lokasi tapak Bazar Ramadan dengan anggaran melebihi 1,000 peniaga telah diluluskan. Saya ada terima tambahan permohonan dan sedang dikaji lagi. Jika sesuai, kita akan beri.

"Tiga lokasi tersebut antaranya di tengah pekan Ipoh dan Station 18 sedang dikaji. Kita akan bekerjasama dengan beberapa syarikat untuk dapatkan platform pasaran lebih besar, secara tidak langsung dapat membantu jualan lebih tinggi dan dapatlah peniaga-peniaga mengurangkan harga jualan mereka," tkatanya.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata penempatan semula penjaja tepi jalan di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz bakal merancakkan pelancongan gastronomi yang memfokuskan kepada makanan Melayu.

“Peniaga-peniaga tersebut akan dikumpulkan di satu tempat yang boleh dijadikan sebagai pelancongan gastronomi selain menjadi tarikan kepada pengunjung di luar Perak.

“Peniaga sudahpun bersetuju dan memahami konsep penempatan semula iaitu medan selera,” katanya.

Baru-baru ini, sebuah portal melaporkan cadangan untuk menempatkan semula penjaja tepi jalan tersebut mendapat reaksi positif orang ramai yang mahu isu kesesakan di situ ditangani kerana keadaan bertambah teruk apabila kelompok penjaja berniaga di kawasan tempat letak kenderaan dan bukannya lot niaga khusus.

-- BERNAMA