Niaga hadapan MSM menyusut selepas pengambilan untung

21/02/2023 10:00 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad and Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) menyusut selepas mencatatkan keuntungan semalam untuk ditutup lebih rendah hari ini berikutan kelemahan dalam niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), kata seorang peniaga. 

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata satu lagi faktor yang menyumbang kepada niaga hadapan MSM yang lemah ialah kekurangan pembelian susulan daripada destinasi pasaran. 

"Bagaimanapun, senario penawaran dan permintaan terhadap minyak sawit dilihat agak terhad selepas Indonesia cuba mengekang jumlah eksport minyak sawit yang memihak kepada peningkatan obligasi pasaran domestik (DMO), sekurang-kurangnya sehingga akhir Ramadan," katanya kepada Bernama. 

Katanya lagi, sementara itu, selepas juruukur kargo mendedahkan data eksport semalam, pasaran kini menunggu anggaran pengeluaran minyak sawit 1 hingga 20 Feb daripada Persatuan Pengilang Buah Sawit Selatan Malaysia (SPPOMA), UOB Kay Hian dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) untuk mengukuhkan idea bekalan.

"Berdasarkan prospek eksport yang cerah, stok minyak sawit Malaysia pada hujung Februari berkemungkinan akan berkurangan," katanya. 

Sependapat dengan Anilkumar, peniaga minyak sawit David Ng berkata niaga hadapan MSM ditutup lebih rendah hari ini di tengah-tengah kelemahan dalam pasaran minyak kacang soya CBOT. 

Bagaimanapun, harga MSM disokong dalam tempoh terdekat memandangkan jangkaan pengeluaran yang agak kurang.

"Kami mengesan paras sokongan pada RM4,000 dan rintangan pada RM4,350 satu tan," katanya. 

Pada penutup, kontrak Mac 2023 adalah RM24 lebih rendah pada RM4,097 satu tan, April 2023 berkurangan sebanyak RM27 kepada RM4,135 satu tan, manakala Mei 2023 serta Jun 2023 masing-masing susut RM26 kepada RM4,141 dan RM4,122 satu tan. 

Julai 2023 merekodkan penurunan sebanyak RM29 kepada RM4,091 dan Ogos merosot RM23 kepada RM4,063 satu tan. 

Jumlah dagangan jatuh kepada 41,170 lot berbanding 50,555 lot yang dicatatkan semalam, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 160,190 kontrak daripada 159,005 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan adalah RM10 lebih tinggi pada RM4,170 satu tan.

-- BERNAMA