Keuntungan bersih Hap Seng Plantations susut enam peratus kepada RM210.31 juta

22/02/2023 07:53 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Hap Seng Plantations Holdings Bhd untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 susut enam peratus kepada RM210.31 juta berbanding RM224.02 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama semasa tahun kewangan 2021. 

Bagaimanapun, hasil meningkat kepada RM814.55 juta daripada RM670.85 juta sebelum ini. 

Syarikat perladangan kelapa sawit itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia menjelaskan penurunan keuntungan bersih itu disebabkan oleh kos pengeluaran yang lebih tinggi berikutan kenaikan dalam kos baja, diesel serta gaji minimum.

"Terdapat juga kerugian daripada pelarasan nilai saksama aset biologi sebanyak RM29.2 juta berbanding keuntungan RM23.8 juta pada tahun sebelumnya, dikurangkan oleh purata harga jualan yang lebih tinggi bagi semua produk sawit," katanya. 

Untuk suku keempat berakhir 31 Dis 2022, keuntungan bersih Hap Seng turun kepada RM18.87 juta daripada RM94.31 juta yang disaksikan pada suku yang sama sebelumnya. 

Perolehan untuk suku keempat turut menyusut 21 peratus kepada RM143.55 juta berbanding RM194.82 juta, dipengaruhi oleh purata harga jualan semua produk sawit yang lebih rendah. 

Hap Seng ketika mengulas mengenai prospek tahun semasa berkata pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia pada Januari 2023 adalah 14.7 peratus lebih rendah dari bulan ke bulan pada 1.38 juta tan, yang terendah dalam hampir setahun. 

"Eksport minyak sawit jatuh sebanyak 23 peratus kepada 1.14 juta tan selepas terjejas oleh penurunan penghantaran ke China dan India," katanya. 

Menjelang akhir Januari 2023, inventori minyak sawit negara meningkat 3.3 peratus dari bulan ke bulan kepada 2.27 tan.

"Dengan jangkaan pengeluaran tandan buah segar (FFB) bermusim yang lebih rendah pada  suku pertama 2023 termasuk permintaan terpendam untuk bulan Ramadan yang akan datang, inventori minyak sawit Malaysia diramalkan merosot pada akhir suku pertama 2023," katanya. 

Hap Seng berkata penganalisis industri perladangan menjangkakan harga MSM pada suku pertama 2023 berada antara RM3,500 hingga RM4,500 satu tan. 

Harga MSM dalam tempoh terdekat dijangka akan dipengaruhi oleh kebimbangan risiko bekalan global minyak sayuran dengan pengeluaran MSM bermusim yang lebih rendah menjelang suku pertama 2023 termasuk kejatuhan dalam pengeluaran kacang soya akibat kemarau di Argentina serta pengeluaran minyak biji bunga matahari yang terjejas akibat perang Rusia-Ukraine.

"Harga juga akan menerima kesan oleh pengetatan dasar eksport minyak sawit oleh Indonesia yang berkuat kuasa mulai 1 Jan 2023 selain apabila Indonesia menaikkan mandat biodiesel daripada B30 kepada B35 mulai 1 Feb lepas," katanya.

Hap Seng berkata keputusannya bagi tahun kewangan 2023 dipengaruhi oleh pergerakan harga komoditi, kenaikan kos pengeluaran dan ketidaktentuan dalam ekonomi global.

-- BERNAMA