Pasaran niaga hadapan MSM tumpu kepada data eksport penyelidik kargo minggu depan

25/02/2023 10:31 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad and Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Prestasi niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) akan didorong oleh data eksport daripada penyelidik kargo minggu depan, kata peniaga minyak sawit David Ng.

“Kami menjangka harga berada antara RM4,000 dan RM4,350 satu tan minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Peniaga minyak sawit kanan Interband Group Jim Teh berkata niaga hadapan MSM dijangka mengalami pembetulan teknikal pada minggu akan datang berikutan harga terlalu tinggi. 

Beliau menjangka permintaan MSM akan sederhana pada minggu depan dan harga berada antara RM3,500 dan RM3,600 satu tan. 

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM ditutup rendah pada Jumaat berikutan aktiviti pengambilan untung pada akhir minggu.

“Bekalan dilihat terhad untuk penghantaran berdekatan berikutan Indonesia memperuntukkan lebih banyak minyak sawit untuk kegunaan domestik sehingga akhir Ramadan serta pengeluaran di Malaysia dan Indonesia menunjukkan pertumbuhan negatif berbanding Januari.

“Minyak sawit dijangka diniagakan dalam julat yang lebih luas sebanyak RM3,900 hingga RM4,300 satu tan,” katanya. 

Bagi minggu baru berakhir, minyak sawit diniagakan kebanyakannya tinggi berikutan anggaran eksport yang lebih tinggi oleh penyelidik kargo, kebimbangan mengenai pengeluaran yang rendah, prestasi niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago dan momentum kenaikan niaga hadapan olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau di Bursa Komoditi Dalian.

Pada asas mingguan, kontrak Mac 2023 naik RM61 kepada RM4,156 satu tan, April 2023 meningkat RM70 kepada RM4,198 satu tan, Mei 2023 menambah RM71 kepada RM4,202 satu tan, Jun 2023 melonjak RM73 kepada RM4,182 satu tan, Julai 2023 naik RM61 kepada RM4,144 satu tan dan Ogos 2023 menambah RM48 kepada RM4,102 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 273,858 lot daripada 282,503 lot manakala kepentingan terbuka naik kepada 167,171 kontrak daripada 159,937 kontrak minggu lepas.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan naik RM120 kepada RM4,200 satu tan.

-- BERNAMA