KPDN, YGM sasar agih Bakul Rahmah kepada lebih 37,000 KIR tahun ini

27/02/2023 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan pengagihan Bakul Rahmah kepada 37,373 ketua isi rumah (KIR) daripada golongan miskin tegar tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata inisiatif Bakul Rahmah dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Global Mesra (YGM) melibatkan sumbangan daripada badan korporat, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan pasar raya besar.

“Setakat ini inisiatif ini tidak melibatkan kos daripada kerajaan, tetapi pemain industri sendiri yang semakin hari semakin bersungguh-sungguh membuat kebajikan mereka serta menjalankan tanggungjawab sosial korporat kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Bakul Rahmah dan pelepasan  Lori Rahmah di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia@Sentral hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh. 

Salahuddin berkata sepanjang Ramadan ini, sebanyak 18,000 Bakul Rahmah akan diedarkan ke seluruh negara dengan peringkat awal sebanyak 2,000 Bakul Rahmah diedarkan menerusi lapan lori ke negeri Perak, Kedah dan Perlis.

Beliau berkata setiap Bakul Rahmah berisi barangan keperluan harian bernilai RM100 dan akan diedarkan ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen di kawasan terlibat sebelum diagihkan kepada golongan sasar berdasarkan data yang diberikan.

“Jadi, kita perlukan data yang jujur daripada jentera parti masing-masing termasuk penghulu, ketua kampung dan pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung kerana inisitif Bakul Rahmah ini adalah khusus untuk golongan miskin tegar yang berpendapatan kurang daripada RM2,500,” katanya. 

-- BERNAMA