MBSB Bank, PREC bekerjasama pacu perniagaan tanpa tunai

03/03/2023 04:33 PM

SHAH ALAM, 3 Mac (Bernama) -- MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) dan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini untuk bekerjasama memacu perniagaan tanpa tunai bagi memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

MoU itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani di SACC Mall, di sini.

Nor Azam berkata kerjasama tersebut memberi peluang kepada peniaga yang beroperasi di bangunan milik PREC seperti SACC Mall dan Kompleks PKNS di sini serta Kompleks PKNS Bangi dalam mempergiatkan perniagaan mereka menerusi penggunaan platform pembayaran runcit masa nyata (RPP) seperti aplikasi DuitNow.

“Transaksi tanpa tunai yang ditawarkan menerusi RPP dapat menjimatkan kos operasi dan membantu meningkatkan proses pengurusan kewangan yang lebih cekap, selain boleh digunakan sepanjang masa.

“Pendigitalan premis PREC juga dapat menarik lebih ramai pelanggan kerana pembayaran secara digital adalah lebih mudah, selamat dan menjadi pilihan pengguna masa kini,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Fakhru Razi berkata inisiatif berkenaan akan dipraktikkan pada Festival Ramadan Selangor 2023 (FESTIRA 23) yang dijadualkan berlangsung antara 5 Mac dan 21 April selama 48 hari.

Beliau berkata seramai 1,000 peniaga dijangka menyertai festival jualan tersebut yang diadakan di tiga lokasi iaitu di SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi.

Katanya pihaknya menjangka seramai 2.5 juta pengunjung akan menghadiri festival berkenaan pada tahun ini.

Fakru Radzi berkata harga sewaan tapak adalah bermula daripada RM1,000 hingga RM15,000 sepanjang festival tersebut dan bergantung kepada lokasi tempat niaga.

“Sebelum ini, kita hanya ada dalam 700 peniaga, tetapi ia meningkat pada tahun ini kerana masih ada peniaga luar yang berminat untuk menyewa tapak niaga.

“Dari segi penyediaan tapak, sebanyak 50 peratus di kompleks PKNS Shah Alam dan 30 peratus di SACC Mall dan selebihnya di PKNS Bangi,” katanya.

-- BERNAMA