1,742 aduan isu kepenggunaan diterima menerima kod QR Aduan Suri

09/03/2023 01:32 PM

MELAKA, 9 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam  Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima 1,742 aduan berkaitan pelbagai isu kepenggunaan, menerusi kod QR Aduan Suri sejak medium WhatsApp itu dilancarkan pada 11 Jan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh berkata daripada jumlah itu, sebanyak 168 aduan adalah daripada pengguna di Melaka dan tiga kategori aduan tertinggi yang dilaporkan ialah transaksi dalam talian (64 aduan), harga (40 aduan) dan perkhidmatan mengelirukan (26 aduan).

Beliau berkata walaupun medium berkenaan disasarkan untuk golongan suri rumah, namun berdasar statistik yang dilaporkan di negeri itu, 53 peratus atau 89 pengadu adalah lelaki manakala 47 peratus adalah wanita.

“Kita telah melancarkan Aduan Suri di beberapa negeri seperti Kedah, Johor dan hari ini di Melaka dan medium ini marupakan salah satu cara mendayaupayakan wanita sebagai pengguna bagi menggalakkan mereka membuat aduan, dengan kaedah yang lebih mudah dan pantas.

“Inisiatif ini juga selari dengan hasrat KPDN untuk memberi maklum balas akuan penerimaan aduan secara segera dari satu hari kepada dua jam, serta membantu mempercepatkan tindakan maklum balas atas aduan lengkap yang diterima dalam tempoh 14 hari berbanding 21 hari,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Aduan Suri dan Pakej Rahmah Inap Desa negeri Melaka pada Program Wanita Pengguna Cakna, Bangkit Mendepani Cabaran Dunia sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia dan Hari Wanita Sedunia yang turut dihadiri Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka Ngwe Hee Sam.

Fuziah berkata selian medium berkenaan, KPDN juga mempunyai pelbagai saluran aduan lain seperti aplikasi EzAdu, portal e-Aduan (https://e-aduan.kpdnhep.gov.my) seperti talian hotline (1-800-886-800) dan sebanyak 7,343 aduan diterima menerusi platform tersebut dalam tempoh Jan hingga semalam.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 785 aduan diterima dari pengguna di Melaka dan 95 peratus daripada aduan tersebut telah diambil tindakan.

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata sebanyak 50 Bazar Ramadan Rahmah disasar akan diwujudkan di seluruh negara sepanjang bulan puasa ini dan perbincangan lanjut bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan di setiap negeri sedang dijalankan.

“Libat urus berkenaan meliputi beberapa perbincangan termasuk kos atau sewa tapak bazar rahmah untuk peniaga terlibat,” katanya.

Mengulas berkaitan salah guna nama di bawah Payung Rahmah seperti Menu Rahmah, beliau berkata setakat tiada aduan diterima namun KPDN sentiasa memantau pelaksanaan inisiatif secara sukarela itu.

-- BERNAMA