Kadar zakat fitrah di Kelantan kekal RM7

14/03/2023 06:56 PM

KOTA BHARU, 14 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini kekal RM7, kata Yang Dipertuanya Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Bagaimanapun, beliau berkata mana-mana individu yang ingin membuat bayaran RM14 atau RM21 berdasarkan keselesaan menurut harga beras yang dimakan adalah digalakkan.

"Selain itu, kadar nisab zakat harta bagi negeri Kelantan tahun 1444H/2023M ialah sebanyak RM21,533.15 untuk haul antara Ramadan 1444H hingga Ramadan 1445H.

"Ketetapan harga zakat fitrah dan kadar nisab zakat harta itu juga telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan kaunter baitulmal di masjid-masjid bandar dan jajahan atau menerusi portal MAIK di zakat.e-maik.my.

"MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk mengambil maklum tentang ketetapan ini. Bersama-sama kita menghidupkan Ramadan 1444H ini dengan amalan soleh dan tanggungjawab berzakat sebagaimana difardukan," katanya.

-- BERNAMA