Mangsa banjir di Sri Medan gotong-royong memasak di PPS
Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
BATU PAHAT, 15 Mac (Bernama) -- Sekumpulan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Sri Medan, di sini, mengambil inisiatif bergotong-royong memasak untuk kesemua 234 mangsa yang mendapat perlindungan di situ sejak 5 Mac lepas.
Rata-rata mangsa banjir daripada pelbagai peringkat umur yang berada di PPS tersebut sejak hampir dua minggu lepas berikutan banjir termenung di daerah itu, kelihatan tidak menang tangan dan berganding bahu bersama-sama membuat persiapan memasak.
Tukang masak di sebuah sekolah yang juga mangsa banjir, Suriayani Arbain, 57, berkata mereka memasak secara sukarela bagi mengisi masa lapang sekali gus mahu memudahkan pelbagai pihak daripada menghantar makanan ke PPS.
Suriayani dari Kampung Sri Pasir berkata kesemua bahan mentah seperti ikan, ayam dan sayur diperoleh hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya memasak dibantu rakan-rakan lain di sini, juadah yang disediakan juga lengkap bermula dari sarapan, makan tengah hari dan malam.
“Kami ingin memudahkan semua pihak dan di PPS ini juga ramai warga emas dan kanak-kanak, jadi kami yang masih lagi sihat ini ambil keputusan memasak untuk mereka,” katanya kepada Bernama di PPS berkenaan hari ini.
Md Nor Azman Samuri, 51, mangsa banjir dari Kampung Parit Jayus Darat pula berkata untuk juadah makan tengah hari sahaja, mereka memasak kira-kira 30 kilogram (kg) beras, 15 kg sayur dan 20 ekor ayam.
Katanya mangsa banjir lelaki juga tidak melepaskan peluang membantu golongan wanita memasak termasuk memastikan bekalan bahan mentah mencukupi.
Pemandu lori itu berkata aktiviti tersebut secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk dari pelbagai kampung itu.
Terdahulu, rata-rata mangsa di PPS itu meluahkan kerisauan berikutan banjir masih belum surut sepenuhnya di rumah mereka sekali gus mengharapkan dapat pulang sebelum Ramadan, minggu depan.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat menerusi hantaran di Facebook rasmi hari ini memaklumkan lima laluan di daerah itu masih ditutup untuk kenderaan ringan akibat dinaiki air hingga 0.46 meter.
Laluan tersebut ialah Jalan Parit Haji Arif/Sri Dayung berhampiran Jambatan Sri Dayung, Jalan Parit Jambi berhampiran Jambatan Parit Jambi, sepanjang Jalan Parit Warijo, Jalan Sri Bengkal berhampiran Kampung Sri Bengkal dan Parit Haji Arif berhampiran Klinik Kesihatan Sri Medan.
-- BERNAMA