MAIWP salur RM9.46 juta bagi program Ihya Ramadan

16/03/2023 05:18 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan RM9.46 juta sumbangan Ihya Ramadan kepada masjid dan surau di seluruh kawasan Wilayah Persekutuan bagi menggerakkan pelbagai program pengimarahan dan aktiviti umat Islam sepanjang bulan berkenaan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata dana zakat itu akan memanfaatkan kira-kira 809 masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Sejumlah RM15,000 diberikan kepada masjid, RM12,500 kepada surau Jumaat manakala RM11,000 diagihkan kepada surau biasa.

Ini adalah salah satu keprihatinan MAIWP untuk menyediakan pelbagai kemudahan dan menjaga kebajikan serta keperluan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan termasuk keperluan masjid dan surau,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Ihya Ramadan di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata MAIWP turut melancarkan program Iftar Ramadan Rahmah dengan peruntukan RM4 juta yang melibatkan 70 masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan itu yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 630,000 golongan miskin dan fi sabilillah.

Dalam pada itu turut berlangsung dua majlis iaitu Persidangan Pengurusan Masjid dan Surau Jumaat Wilayah Persekutuan dan Tauliah Amil Zakat Fitrah Tahun 1444H/2023M.

Beliau berkata pada tahun ini Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah melantik 921 orang ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Wilayah Persekutuan untuk mengutip zakat fitrah sama ada di 10 kaunter zakat PPZ-MAIWP, masjid, surau, pasar raya dan beberapa lokasi lain.

“Selain itu, kadar zakat fitrah Wilayah Persekutuan dengan penetapan 3 kadar seperti mana dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan iaitu RM7, RM14 dan RM21 seorang,” katanya.

PPZ-MAIWP turut menyediakan pembayaran secara dalam talian melalui pautan fitrah.zakat.com.my yang membolehkan bayaran dibuat melalui telefon pintar atau komputer pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

-- BERNAMA