Sidec anjur Smart Raya Selangor 2023 galak rakyat guna e-dompet

16/03/2023 05:41 PM

SHAH ALAM, 16 Mac (Bernama) -- Kerajaan Selangor melalui Perbadanan Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec) hari ini melancarkan inisiatif Smart Raya Selangor 2023 bagi mempromosikan pembelian tanpa tunai melalui penggunaan e-dompet dalam kalangan pengguna dan peniaga.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Datuk Teng Chang Khim berkata program tersebut merangkumi tiga kempen iaitu Festival Usahawan Gempak, Bazar Ramadan Cashless dan Anugerah Malaysia Top E-Commerce Merchant (ECM) Awards Edisi Kelapan.

Beliau berkata inisiatif berkenaan diperkenal bagi mencipta budaya digitalisasi dengan mengaplikasikan penggunaan teknologi digital dalam perniagaan menerusi penggunaan e-dompet secara meluas, perniagaan dari luar talian ke dalam talian serta platform e-dagang.

"Festival Usahawan Gempak yang akan berlangsung dari 7 hingga 9 April  di Stadium Malawati, Shah Alam menyasarkan seramai 25,000 pengunjung membeli belah daripada 150 usahawan tempatan yang menjual dan mempromosi barangan keperluan Aidilfitri," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Selain itu Teng berkata Sidec dan rakan bank rasmi e-dompet, Wavpay akan berkunjung ke lima lokasi bazar Ramadan iaitu Subang Jaya, Klang, Gombak dan dua tapak di Shah Alam bagi menggalakkan penggunaan e-dompet untuk pembelian tanpa tunai, dengan sasaran penyertaan sebanyak 500 peniaga digital baharu dan 1,000 pengguna baharu.

Dalam perkembangan lain, Teng turut memaklumkan seramai 602 permohonan bagi Anugerah Top ECM Edisi Kelapan sejak penyertaan dibuka sepanjang Februari lalu bagi memberi pengiktirafan jenama dan peniaga e-dagang yang paling berjaya, kreatif dan inovatif. 

"Pertandingan ini akan berlangsung selama tiga bulan dan menawarkan hadiah wang tunai terkumpul bernilai RM46,000 serta pelbagai hadiah.

"Anugerah Top ECM ini menampilkan tiga kategori anugerah iaitu Malaysia Top E-Commerce Merchant Awards, Selangor Onboarding Programme Awards dan AFFIN BANK Special Awards (Rising Star dan AFFINGEM Women Trailblazer Awards)," katanya.

-- BERNAMA