Hijrah Selangor sedia dua tapak khas bazar Ramadan

17/03/2023 05:07 PM

SHAH ALAM, 17 Mac (Bernama) -- Kerajaan Selangor menerusi Yayasan Hijrah Selangor menyediakan dua tapak bazar Ramadan khas di daerah ini bagi membantu peniaga yang mendapat pembiayaan di bawah agensi itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor Rodziah Ismail berkata sebanyak 60 peniaga berdaftar menyertai inisiatif berkenaan merangkumi 22 peniaga di Tapak Seksyen 7 dan 40 peniaga di Seksyen U3 di sini.

Beliau turut memaklumkan peniaga di bawah Hijrah Selangor yang masih tidak mempunyai tapak niaga bazar Ramadan boleh cuba mendapatkan baki 20 slot tapak niaga di Seksyen U3 dengan memohon kepada agensi itu sebelum 1 Ramadan ini.

"Mereka berniaga di tapak berasingan yang dikendalikan oleh Hijrah Selangor dengan harga sewaan tapak sebanyak RM650 untuk sepanjang bulan Ramadan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Permit Niaga dan Peranti 'Cashless' kepada Peniaga Bazar Ramadan Hijrah Selangor di sini hari ini.

Rodziah berkata Hijrah Selangor turut bekerjasama dengan Beez Fintech Sdn Bhd (Bayarlah) yang menyediakan peranti tanpa tunai untuk digunakan oleh para peniaga di tapak-tapak bazar Ramadan Hijrah Selangor itu.

Katanya, pengunjung bazar boleh menggunakan kod QR Bayarlah bagi kemudahan transaksi yang cepat dan mudah dengan menerima pembayaran daripada semua bank tempatan, Touch 'n' Go, GrabPay dan seumpamanya. 

"Jadi saya harap ia dapat memberi manfaat kepada semua yang melibatkan diri dalam bazar ini dan yang penting kita mahu para pengunjung yang mengunjungi bazar tersebut mengamalkan pembelian tanpa tunai," katanya.

-- BERNAMA