Kemenangan menentang Kuching City tonik terbaik buat KDA FC

18/03/2023 09:36 AM

ALOR SETAR, 18 Mac (Bernama) -- Kemenangan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang Kuching City FC dalam aksi Liga Super malam tadi ibarat tonik terbaik buat para pemain sebelum berehat hampir dua minggu sempena Ramadan.

Ketua Jurulatih KDA FC Mohd Nafuzi Mahammad Zain berkata kemenangan itu yang meletakkan Sang Kenari di tangga ketiga liga dengan 12 mata juga mampu meningkatkan kembali moral pasukan yang sebelum ini mengalami kekalahan dalam dua perlawanan iaitu kepada Penang FC dan PDRM FC.

“Alhamdulillah tiga mata penting sebelum kita berehat dua minggu sempena Ramadan, kemenangan malam ini ialah tonik terbaik untuk kita dan dua minggu berehat dapatlah pulih balik bagi mana-mana pemain cedera.

“Saya rasa daripada lima perlawanan kita kutip 12 mata, ia satu pencapaian terbaik pada awal musim dengan pemain baru dibentuk, saya rasa bersyukurlah,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadum Darul Aman, di sini malam tadi.

Dalam perlawanan yang dihadiri lebih 7,000 penyokong itu, pasukan tuan rumah meraih tiga mata selepas menewaskan Kuching City 3-0.

Bagaimanapun, Mohd Nafuzi mengingatkan anak buahnya agar terus bekerja keras dan mengekalkan momentum serta prestasi terbaik untuk mengharungi saingan yang dijangka makin mencabar selepas ini.

Katanya, misi juga adalah untuk memperkemas benteng pertahanan dan beberapa posisi pemain agar tidak terus membuat kesilapan yang akhirnya gagal mendapat mata penuh perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City Irfan Bakti Abd Salim bercadang mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan untuk penambahbaikan pasukan yang kini mengalami kekalahan keempat berturut-turut.

“Ini kekalahan empat kali berturut-turut rekod sejarah saya menjadi jurulatih, empat perlawanan berturut-turut ini tak ada (sepanjang jadi jurulatih) rasanya, kami pasukan baharu itu satu yang saya boleh beritahu,” katanya.

-- BERNAMA