Bazar Ramadan Rahmah dijangka bakal manfaatkan 12,000 rakyat Johor

21/03/2023 06:46 PM

JOHOR BAHRU, 21 Mac (Bernama) -- Bazar Ramadan Rahmah di bawah inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dijangka bakal memanfaatkan seramai 12,000 rakyat Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han (he) berkata setakat ini, penganjuran bazar tersebut dirancang diadakan di enam daerah termasuk Johor Bahru, Segamat, Muar dan Batu Pahat.

Bagaimanapun, pihaknya tidak meletakkan sasaran mengenai jumlah peniaga yang akan terlibat.

“Menerusi penganjuran Bazar Ramadan Rahmah, sebanyak 30 peratus daripada pengusaha akan menjual Menu Rahmah di gerai mereka.

“Bagaimanapun, kita tidak letak sasaran berapa ramai peniaga terlibat dan kita jangka e-dompet sebanyak RM20 akan diberikan kepada 12,000 orang terawal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perancangan kerajaan negeri bagi penganjuran Bazar Ramadan Rahmah.

Lee pada masa sama berkata perincian mengenai penganjuran Bazar Ramadan Rahmah di Johor akan dimaklumkan oleh pihaknya dari semasa ke semasa ,berikutan ia masih dalam peringkat awal perancangan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata pengunjung Bazar Ramadan Rahmah bakal menerima insentif RM20 seorang, menerusi plaform e-dompet yang melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM2 juta.

Sementara itu, mengenai video tular di media sosial yang mendakwa pengusaha ayam menjual semula ayam yang mati akibat bencana banjir, Lee berkata Jabatan Perkhidmatan Veteriner (JPV) dan KPDN tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara itu berlaku di Johor.

“Berkaitan isu kononnya ada pengusaha menjual ayam yang mati akibat banjir, tetapi saya ingin beri maklumat bahawa tiada aduan diterima oleh JPV serta KPDN.

“Kita telah siasat dan setakat ini tidak ada maklumat berhubung dakwaan itu berlaku (di Johor),” katanya.

-- BERNAMA