LZS agih bantuan Ramadan, Hari Raya lebih RM30 juta

21/03/2023 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) mula mengagihkan bantuan zakat lebih RM30 juta kepada 65,000 penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal tahun ini.

Ketua Pgawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata setiap penerima menerima antara RM300 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga. 

Katanya bantuan tersebut disalurkan sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima, menggunakan kaedah baucar tunai dan serahan tunai di cawangan LZS di seluruh negeri bagi kes tertentu.

"Pemakluman  kepada penerima yang layak dibuat melalui SMS ke nombor telefon yang didaftarkan dengan Zakat Selangor.

“Bagi memudahkan asnaf di Selangor, mereka  boleh membuat semakan status Bantuan Ramadan dan Hari Raya 2023 di ezo.zakatselangor.com.my atau menghubungi Talian Zakat Selangor," katanya pada program simbolik bantuan Ramadan dan Hari Raya LZS tahun 2023 di Dewan Besar Kolej Vokasional Gombak di sini, hari ini.

Mohd Sabirin berkata daripada jumlah keseluruhan agihan, sebanyak RM9 juta diagihkan kepada 18,550 penerima dalam kalangan asnaf fakir manakala RM19.4 juta, diagihkan kepada 41,770 asnaf miskin dan RM1.6 juta kepada 4,499 asnaf mualaf.

Menurut Mohd Sabirin daerah Petaling mencatatkan jumlah agihan zakat tertinggi melibatkan peruntukan RM5.5 juta kepada 11,799 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf, diikuti daerah Klang dengan jumlah agihan RM5.4 juta kepada 11,743 asnaf.

Sementara itu, di daerah Hulu Langat sebanyak RM4.4 juta diperuntukan untuk diagihkan kepada 9,415 asnaf;  Kuala Selangor mengagihkan bantuan zakat RM3.1 juta membabitkan 6,979 asnaf; Gombak pula menyaksikan agihan RM3.1 juta kepada 6,775 asnaf manakala Hulu Selangor mengagihkan kepada 5,445 asnaf dengan nilai zakat RM2.4 juta. 

Tiga daerah lain iaitu Sabak Bernam mencatatkan seramai 4,956 asnaf yang menerima agihan zakat RM2.1 juta diikuti Kuala Langat dengan seramai 4,708 asnaf melibatkan jumlah agihan RM2.2 juta dan Sepang mencatatkan jumlah agihan RM1.3 juta kepada 2,999 asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Selain itu, beliau berkata LZS turut menyalurkan peruntukan zakat sebanyak RM32.6 juta bagi membiayai persiapan persekolahan 67,798 anak asnaf fakir, miskin dan mualaf sesi persekolahan 2023 pada Februari lepas.

-- BERNAMA