PPZ-MAIWP lancar Kempen Ramadan Anugerah Terindah

21/03/2023 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) --  Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini melancarkan Kempen Ramadan Anugerah Terindah, bertujuan memberi galakan kepada orang Islam, khususnya di Wilayah Persekutuan (WP) menunaikan ibadah zakat menerusi perkhidmatan dan saluran bayaran yang disediakan.

PPZ-MAIWP dalam satu kenyataan memaklumkan pelbagai saluran bayaran disediakan bagi memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan termasuk melalui Portal PPZ-MAIWP (fitrah.zakat.com.my) dan 921 penolong amil fitrah di seluruh WP serta di 10 kaunter PPZ-MAIWP di masjid, surau dan pasar raya.

Bayaran zakat fitrah juga boleh dibuat melalui ejen-ejen online di 15 perbankan Internet, iaitu E-Wallet- Boost, Shopee, Tulus, GoPayz, The Noor, Raiz-Online Portal-senangPay, MyEG, PayHalal, MyPay, Elzar Shariah, Al Amin dan MyVerify.

Bagi pembayaran zakat harta, bayaran boleh dibuat secara dalam talian dan offline seperti di Kaunter PPZ-MAIWP yang dibuka tujuh hari seminggu termasuk cuti umum bermula 8.15 pagi hingga 4.30 petang. 

Ia juga boleh dilakukan melalui portal zakat.com.my (kira, bayar, semak), Aplikasi MyZakat, Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB), manakala Kaunter Zakat Bergerak, Ride2U dan Kaunter Zakat Digital pula adalah khas kepada pembayar yang ingin mendapatkan layanan secara personal dan tidak ada masa ke kaunter. 

Menurut kenyataan itu tempahan boleh dibuat di mytemujanji.zakat.com.my.

Bagi pembayaran wakaf tunai pula, ia boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan di kaunter PPZ-MAIWP yang dibuka sepanjang hari termasuk cuti umum bermula 8.15 pagi hingga 4.30 petang, portal wakafppz.com.my serta kaunter zakat dan wakaf bergerak.

PPZ-MAIWP turut menawarkan lebih 1,000 hadiah menarik khas sebagai galakan buat pembayar zakat yang menunaikan zakat harta, fitrah dan wakaf tunai melalui saluran bayaran yang disediakan, antaranya pakej umrah, set solat eksklusif, jam buruj, smartphone, iPad, baucar makanan dan banyak lagi.

Sehubungan itu, PPZ-MAIWP menyeru semua masyarakat Islam di WP untuk merebut keberkatan Ramadan dengan menunaikan zakat untuk mengembalikan hak asnaf sebanyak 2.5 peratus yang terdapat dalam harta masing-masing.

Selain itu bagi memeriahkan lagi Kempen Ramadan Anugerah Terindah itu, PPZ-MAIWP turut menyediakan pelbagai program dan aktiviti menarik sepanjang ramadan seperti Vibe Ramadan Tadabbur Al-Quran, Bual Bicara, Program Turun Padang, Doa Senjata Mukmin dan Kuiz Interaktif Zakat.

Maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh didapati di laman Facebook, Instagram serta TikTok rasmi Pusat Pungutan Zakat dan juga di www.zakat.com.my/ramadan2023 atau menghubungi 1300 88 5757 atau menerusi e-mel kepada info@zakat.com.my.

-- BERNAMA