Umat Islam di Malaysia dan negara jiran mula berpuasa Khamis
KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Umat Islam di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand mula melaksanakan solat Terawih malam ini berikutan Ramadan yang bermula esok (23 Mac) seperti diumumkan pihak berkuasa agama masing-masing.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada Khamis menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Proses melihat anak bulan Ramadan berlangsung di 29 lokasi seluruh negara.
Di Jakarta, Menteri Agama Yaqut Cholil Qoumas mengumumkan umat Islam di Indonesia juga akan mula berpuasa pada tarikh yang sama.
Pengumuman itu dibuat selepas persidangan antara beberapa pertubuhan Islam di seluruh negara.
Umat Islam di Singapura turut menjalani ibadah puasa pada Khamis seperti diumumkan oleh Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir.
“Mengikut kiraan hisab berdasarkan kriteria rukyah, anak bulan berada di ufuk Singapura setelah matahari terbenam petang tadi selama 38 minit.
“Suka saya mengisytiharkan bahawa awal Ramadan tahun 1444H bermula esok, Khamis bersamaan 23 Mac 2023,” katanya dalam laman sesawang Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini.
Di BANGKOK, umat Islam di Thailand turut meraikan kedatangan Ramadan pada Khamis, menurut kenyataan Pejabat Sheikhul Islam Thailand.
Sheikhul Islam Thailand Aziz Pitakkumpol berkata anak bulan dapat dilihat hari ini.
“Jadi, saya mengumumkan esok, 23 Mac 2023 sebagai hari pertama bulan suci Ramadan Hijrah 1444,” katanya.
-- BERNAMA