Anwar berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di Jeddah

24/03/2023 12:50 AM

Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil

JEDDAH, 23 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa bersama-sama 200 rakyat Malaysia yang tinggal di sini untuk berbuka puasa bersama-sama mereka pada hari pertama bulan Ramadan.

Perdana Menteri yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi tiba di  Konsulat Malaysia di sini kira-kira pukul 6 petang waktu tempatan.

Beliau diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta  Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Biarpun berada di Timur Tengah, juadah Malaysia tidak dilupakan dalam hidangan antaranya kuih seri muka dan minuman sirap bandung. 

Anwar dalam ucapan ringkasnya mengucapkan kesyukuran kerana berpeluang melawat Arab Saudi dalam bulan Ramadan ini.

“Kebetulan kita dapat menyambut Ramadan dan kebetulan dapat beramah mesra dengan saudara-saudari. Semoga kita dapat pulihkan imej negara, angkat martabat umat Islam dalam negara,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri berpeluang bertemu komuniti perniagaan tempatan dan Malaysia di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam di sini dan berucap di hadapan mereka. 

Dalam ucapannya, Anwar mempelawa komuniti perniagaan di Arab Saudi untuk lebih banyak melabur di Malaysia berikutan Malaysia mempunyai kerajaan yang stabil dengan dasar yang jelas.

Beliau dijangka mengakhiri lawatan rasminya di Arab Saudi esok.

Hampir 5,000 rakyat Malaysia tinggal di Arab Saudi dan kira-kira 800 orang daripada mereka berada di Jeddah dan Makkah.

-- BERNAMA