Ziarah Ramadan: UMNO Labuan sasar 500 asnaf 

27/03/2023 10:26 AM

LABUAN, 27 Mac (Bernama) -- UMNO bahagian Labuan melancarkan Program Ziarah Ramadan dengan menyasarkan 500 keluarga Asnaf di pulau bebas cukai di sini.

Program yang dimulakan pada Ahad bermula di Kampung (Kg) Sungai Bedaun dan Kg Pohon Batu sebelum diperluaskan di perkampungan lain.

Ketua UMNO bahagian Labuan merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata program itu telah dimulakan beberapa tahun lepas dan telah memberi faedah kepada ramai keluarga yang memerlukan bantuan.

“Ketika saya memimpin pemuda UMNO bahagian Labuan, program ini dilaksanakan setiap tahun dari tahun 2008-2018.

“Selepas ini, program ziarah ini akan dijadikan sebagai program tahunan UMNO bahagian setiap kali bulan Ramadan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Rafi berkata pemimpin di peringkat cawangan, sayap Wanita, Puteri dan Pemuda akan mengenal pasti keluarga asnaf di kawasan masing-masing untuk menerima bantuan Program Ziarah Ramadan itu.

“Dalam program ini, penerima akan menerima bantuan wang tunai dan barangan keperluan asas sempena bulan mulia ini,” katanya.

Sementara itu, sayap Wanita dan Pemuda bahagian UMNO Labuan telah mengagihkan bantuan bekalan air kepada penduduk di beberapa kampung susulan gangguan bekalan air selama seminggu sejak 20 Mac lalu.

Sebanyak 480 botol air minuman diagihkan kepada pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML) yang tidak terkecuali berhadapan dengan masalah gangguan bekalan air di kediaman mereka.

-- BERNAMA