JKN Terengganu keluar tujuh kompaun terhadap peniaga bazar Ramadan

27/03/2023 11:16 AM

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 53 tapak bazar dan akan diteruskan sehingga kesemua 61 lokasi yang ada di seluruh negeri.

"Kita (Terengganu) ada 3,941 pengendali makanan di 61 lokaliti bazar Ramadan yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri.

“Daerah Kuala Terengganu mencatat jumlah tertinggi dengan 1,403 orang, Dungun (567), Kuala Nerus (400), Kemaman (369), Marang (352), Besut (332), Hulu Terengganu (311) dan Setiu (207)," katanya selepas pelancaran Ops Keselamatan Sempena Ramadan 2023 Peringkat Terengganu di Bazar Ramadan Gong Badak, di sini.

Dr Kasemani berkata selain bazar Ramadan, anggota penguat kuasa JKN Terengganu juga akan menjalankan pemeriksaan di pasar raya, kedai runcit dan pembekal bagi memastikan bahan mentah yang dibekalkan kepada pengguna bersih serta selamat.

Menurut beliau JKN Terengganu telah membentuk 106 pasukan yang terdiri daripada 366 anggota bagi menjalankan tugas penguatkuasaan dan pemantauan di bazar Ramadan sama ada yang berdaftar atau tidak berdaftar sepanjang Ramadan.

"Walaupun fokus utama kita adalah di bazar yang berdaftar, kita juga akan melakukan pemeriksaan terhadap gerai-gerai makanan di tepi jalan yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan ketika bulan Ramadan.

“Jadi saya nak nasihatkan peniaga supaya sentiasa pastikan makanan dalam keadaan bersih dan baik manakala pengguna pula pilihlah peniaga yang mengamalkan etika pengendalian makanan yang baik," katanya. 

Beliau berkata pengguna yang mempunyai sebarang aduan atau isu berkaitan makanan boleh menyalurkan aduan dengan cara mengimbas kod QR pada gegantung yang ditempatkan di bazar Ramadan atau menerusi Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

-- BERNAMA