RAIS KEKAL KETUA UMNO BAHAGIAN TANGGA BATU - AHMAD ZAHID

28/03/2023 12:21 AM

JASIN, 27 Mac (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

Beliau berkata ia disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Tan Sri Shahrir Abdul Samad kepadanya hari ini.

“Saya ingin mengesahkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO telah memaklumkan kepada saya (bahawa) tidak ada surat pembatalan itu dan Datuk Rais diabsahkan sebagai Ketua UMNO  Bahagian Tangga Batu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Pulai, Serkam di sini malam ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sepucuk surat tular bertarikh 27 Mac yang mendakwa kemenangan Rais sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dibatalkan.

Surat berkenaan memaklumkan berlakunya ketidakaturan perjalanan mesyuarat pada proses pemilihan UMNO bahagian itu yang berlangsung di sebuah hotel baru-baru ini.

-- BERNAMA