PULANG BELI JUADAH, LELAKI TERKEJUT RUMAH DIHEMPAP POKOK

30/03/2023 02:37 PM

SIK, 30 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki yang baru pulang daripada membeli juadah berbuka, terkejut melihat rumah yang didiaminya sejak kecil dihempap pokok cempedak tumbang, dalam kejadian ribut petang semalam.

Jalil Ahmad, 49, dari Kampung Berona Kiri dekat sini berkata rumah pusaka itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung dapur.

"(Sebelum kejadian) saya keluar rumah untuk membeli juadah berbuka di pekan Jeniang dan keadaan ketika itu mulai hujan berserta angin kencang… pokok yang tumbang terkena bumbung pada bahagian dapur," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau yang bekerja sendiri berkata penduduk kampung membantu mengalihkan pokok itu dengan memotong batang dan dahan, selain turut membersihkan kawasan sekitar.

Seorang lagi mangsa ribut itu, Azizun Abdul Rahman, 57, berkata kira-kira 10 keping atap rumahnya tercabut diterbangkan angin kencang sehingga menyebabkan bahagian dalam rumah dimasuki air.

"Masa kejadian, saya dengan anak perempuan sedang berehat di dalam rumah, tingkat bawah...tiba-tiba dengar bunyi bising seakan bumbung terangkat dan air hujan mula membasahi rumah.

"Habis basah selimut dan barang-barang rumah yang disimpan di tingkat atas, mujur barang-barang untuk buat kuih raya tidak terjejas, kalau tidak, tak dapat saya buat jualan kuih raya tahun ini. Kejadian ribut pada tahun 2014 dulu pernah jadi juga, cuma tak seteruk kali ini," katanya.

Sementara itu, pemilik bengkel kereta Zuraimi Zainon, 51, berkata bengkelnya turut terkesan dengan ribut berkenaan apabila bumbung tercabut, namun dia bernasib baik kerana sempat mengalihkan kereta pelanggan ke tempat selamat. 

"Lima tahun saya di sini, ini kali pertama diuji dengan kejadian seperti ini...sepanjang Ramadan, saya akan tutup kedai pada pukul 4 petang, tetapi semalam saya terpaksa tutup lewat sebab menunggu pelanggan datang ambil kereta yang siap dibaiki," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sik Left (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata kira-kira 30 premis kediaman dan kedai dilaporkan rosak akibat ribut yang melanda dua kampung di mukim Jeneri dekat sini, pada kira-kira 5 petang.

"Sebanyak 10 rumah dilaporkan mengalami kerosakan kritikal manakala 20 (rumah) lagi separa kritikal...dua buah kampung yang terjejas ialah di Kampung Berona Kanan dan Kampung Berona Kiri.

"APM turut menerima laporan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas dan tindakan telah diambil bagi membantu mangsa ribut serta membersihkan laluan," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA