PROJEK PEMBETUNGAN KUANTAN DIJADUAL SIAP SEPTEMBER

01/04/2023 12:56 PM

KUANTAN, 1 April (Bernama) -- Projek Pembetungan Kuantan yang melibatkan beberapa kawasan perumahan di bandar Kuantan dan Kempadang di sini, dijadualkan siap pada September ini, sekali gus dapat menyelesaikan isu kesesakan jalan raya di lokasi pelaksanaannya. 

Datuk Bandar Kuantan Datuk Hamdan Hussin berkata pemantauan dan teguran serta tindakan tegas seperti mengeluarkan kompaun akan diambil bagi memastikan tiada lagi kelewatan, memandangkan pelaksanaannya telah tertangguh daripada jadual asal. 

"Untuk hari raya pula, kita telah memaklumkan kontraktor supaya memberhentikan kerja bagi tempoh masa tertentu selain penutupan jalan yang melibatkan saiz jalan yang besar seperti di Jalan Gambut dikurangkan untuk keselesaan pengguna. 

“… ini kerana kita tahu akan berlaku pertambahan jumlah kenderaan di bandar Kuantan pada minggu terakhir Ramadan hingga hari raya," katanya pada sidang media di Jalan Teluk Sisek di sini yang dibuka sepenuhnya hari ini, selepas pelaksanaan projek di situ selesai. 

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang. 

Projek pembetungan Kuantan yang bernilai RM570 juta bertujuan meningkatkan taraf perkhidmatan pembetungan dan menambah baik kualiti alam sekitar, bermula pada Februari 2018 dengan jangkaan awal siap pada Februari 2022. 

Bagaimanapun, Jalur Cahaya Sdn Bhd selaku kontraktor projek memaklumkan antara punca kelewatan projek itu ialah pandemik COVID-19, masalah aliran air bawah tanah yang luar biasa sehingga menyukarkan kerja pengorekan dan merosakkan mesin selain berlaku runtuhan tanah. 

Projek di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) itu antara lain melibatkan pembinaan paip pembetungan anggaran sejauh 60 kilometer yang akan membawa kepada penutupan 165 loji rawatan kumbahan kecil di beberapa kawasan perumahan, termasuk yang telah berusia lebih 40 tahun dan tidak lagi menepati piawaian alam sekitar.

Pelaksanaan projek itu penting untuk mengurangkan punca pencemaran dan menghasilkan kualiti efluen yang menepati piawaian untuk meningkatkan kualiti air sungai selain dapat menjimatkan kos operasi dan penyelenggaraan. 

Sementara itu, Sallehuddin berkata kerajaan negeri sedang mempertimbangkan pelaksanaan fasa kedua projek itu di Indera Mahkota di sini, dengan penambahan syarat bagi mengurangkan kesesakan seperti yang berlaku di bandar Kuantan.

"Antara syarat yang perlu dipatuhi ialah tiada lagi persimpangan besar di tengah jalan, pengurusan trafik yang lebih baik dan tidak dibenarkan menutup jalan pada waktu puncak serta lalu lintas kekal dua hala sepanjang masa untuk keselesaan penduduk," katanya. 

-- BERNAMA