KEMPEN 'SUPER SAVER' 2023 BANK MUAMALAT TAWAR HADIAH RM2.49 JUTA

01/04/2023 05:20 PM

PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Susulan sambutan menggalakkan, Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) buat kali kedua meneruskan Kempen ‘Super Saver’ 2023 yang menawarkan 1,455 hadiah dengan nilai keseluruhan RM2.49 juta.

Ketua Pegawai Strategi Bank Muamalat Mohammad Fairuz Mohd Radi berkata kempen yang bermula pada 1 Mac lepas dan akan berakhir pada 29 Feb 2024, terbuka kepada semua pelanggan bank tersebut.

“Kempen kali ini akan menawarkan tiga kategori baharu daripada sembilan kategori keseluruhannya bagi cabutan bertuah iaitu kategori warga pesara, generasi baharu dan negeri,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen ‘Super Saver’ 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata hadiah utama ditawarkan bernilai RM1 juta dengan simpanan minimum RM3,000 manakala bagi hadiah kereta, pengguna hanya perlu menyimpan sebanyak RM1,000.

“Bagi kategori pesara yang terbuka kepada mereka berumur 50 tahun dan ke atas, amaun minimum perlu disimpan adalah RM10 sahaja, dan hadiahnya adalah wang tunai RM1,500,” katanya.

Selain hadiah wang tunai dan kereta, Bank Muamalat turut menawarkan baucar pelancongan bernilai RM10,000 dan mereka yang mempunyai amaun minimum RM1,000 layak menyertai kempen tersebut.

Terdahulu, Mohammad Fairuz dan Pengarah Bahagian Wilayah Bank Muamalat Anaruddin Abas menyampaikan hadiah utama wang tunai dan kereta Honda CR-V kepada dua pemenang kempen edisi pertama iaitu ‘Super Saver, Superb Prizes’ yang berlangsung dari 1 Ogos 2022 hingga 31 Jan lepas.

Pencarum dari Mentakab, Pahang Mohmad Asri Ismail memenangi kereta tersebut manakala hadiah utama RM1 juta dimenangi pencarum dari Johor, Lee Shing Chang.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen tersebut, orang ramai boleh mengunjungi reruai Bank Mualamat di Festival Ramadan Putrajaya di Presint 3 di sini, yang dibuka hingga 21 April, menerusi laman sesawang www.muamalat.com.my atau laman sosial Facebook dan Instagram Bank Muamalat.

-- BERNAMA