3,600 Akok Dihasilkan Sepanjang Ramadan Guna Pembakar Kek Cawan
GUA MUSANG, 3 April (Bernama) -- Memasuki hari ke-12 bulan Ramadan, seorang suri rumah Nur Aima Nadia Arifin, 31, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini, sudah berjaya menjual 3,600 biji kuih akok berperisa jagung, biasa dan pandan.
Apa yang lebih menarik, Nur Aima Nadia bertindak kreatif apabila menggunakan pembakar kek cawan untuk membakar pemanis mulut yang terkenal di pantai timur itu, berbanding kaedah tradisional menggunakan dapur arang.
Malah Nur Aima Nadia yang sudah enam tahun menjual akok berkata rata-rata pelanggan juga berpuas hati dengan rasa akok tersebut yang tidak berbeza dengan akok yang dihasilkan secara membakar.
“Saya tidak dapat membakar menggunakan dapur arang disebabkan ruang rumah yang sempit dan tinggal di rumah flat, jadi menggunakan pembakar jenis ini sangat mudah kerana pada masa yang sama ia dijadikan bekas acuan juga.
“Biasanya saya akan menghabiskan lebih empat jam untuk proses membuat adunan, membakar dan memasukkan akok ke dalam pek individu untuk dihantar ke gerai-gerai ataupun menghantarnya kepada pelanggan mengikut permintaan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di PPR Belakang Bomba di sini.
Bercerita lanjut, Nur Aima Nadia berkata akok jagung mendapat permintaan paling tinggi malah dia tidak menyangka idea olahan perisa baharu terhadap kuih tradisional itu mendapat tempat di hati pelanggan yang mencubanya.
“Akok jagung air tangan saya sudah tidak asing lagi bagi pelanggan lama, jadi setiap kali menjelang Ramadan mereka akan selalu mengingatkan saya untuk membuat akok jenis ini dan tidak hanya memfokuskan pada akok biasa dan pandan sahaja.
“Ketulan isi jagung yang sebenar juga dimasukkan ke dalam akok ini untuk memberikan rasa jagung original kepada pelanggan yang membeli,” katanya.
Menurut Nur Aima Nadia dia konsisten menghasilkan 300 biji akok pelbagai perisa ini setiap hari semenjak hari pertama puasa lalu dan setiap akok dijual pada harga RM4 untuk lima biji.
-- BERNAMA