30 Anak Yatim, Asnaf Ceria Dapat Beli Baju Raya Baharu
ALOR SETAR, 4 April (Bernama) -- Keceriaan jelas terpancar di wajah 30 anak yatim dan asnaf yang dibawa membeli baju raya baharu di Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), dekat sini, semalam.
Mereka yang dipilih dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang itu diberi kebebasan untuk memilih set lengkap baju Melayu bagi lelaki dan set lengkap baju kurung bagi perempuan yang bernilai RM100 setiap seorang.
Muhammad Ammar Mohd Nor Faisal, 13, berkata dia sangat gembira kerana dapat membeli baju Melayu baharu sedondon berwarna merah bersama dua adik kembarnya iaitu Muhammad Amzar dan Muhammad Amsyar yang berusia 12 tahun.
“Kami bertiga memang suka warna merah, jadi apabila diberi pilihan untuk memilih baju Melayu sendiri, memang kami ambil warna yang sama. Cuma, adik lelaki berusia lima tahun dan ibu sahaja masih belum beli baju raya baharu lagi.
“Kebiasaannya kami sekeluarga memang memakai pakaian sedondon setiap kali Aidilfitri, tetapi sejak arwah ayah meninggal dunia pada 2020 akibat kemalangan, sambutan raya sudah tidak sama lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa di sini, semalam.
Muhammad Ammar yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pada kedua-dua bahagian tangannya berkata sumbangan baju raya baharu itu dapat membantu menjimatkan kos perbelanjaan keluarganya yang menetap di Tanjung Musang, Alor Setar.
Pada 13 Okt 2020, media melaporkan arwah Mohd Nor Faisal Ani yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Pulau Pinang meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala selepas terlibat kemalangan di Kilometer 98.7 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Sungai Petani.
Bagi Norashikin Shafie, 49, dia bersyukur dan lega kerana dua anaknya iaitu Ain Wahida Izman, 21, dan Muhammad Adam Wafi, 13, dapat membeli baju raya baharu termasuk beberapa barangan lain sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Sementara itu, Pengurus Besar Mydin Wilayah Utara Azmin Saduruddin berkata sepanjang Ramadan tahun ini, sejumlah peruntukan telah disediakan kepada 500 penerima dari tujuh cawangan yang berada di bawah Wilayah Utara.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Mydin Wilayah Utara Datuk Dr Saduruddin Gulam Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wan Romani Wan Salin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang.
-- BERNAMA