Utem Sediakan Nasi Talam Percuma Untuk Pelajar Berbuka Puasa Sepanjang Ramadan

04/04/2023 02:46 PM

MELAKA, 4 April (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyediakan menu nasi talam secara percuma untuk pelajarnya sebagai juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan ini yang dilakukan secara gotong-royong setiap hari.

Naib Canselor UTeM Prof Dr Massila Kamalrudin berkata program itu melibatkan lebih 1,500 kakitangan universiti itu mengikut giliran pusat tanggungjawab masing-masing dan turut dibantu sebahagian sukarelawan pelajar.

"Pihak UTeM berbesar hati dapat menyediakan juadah makanan secara percuma buat pelajar untuk mereka berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan ini yang secara tidak langsung dilihat memberi manfaat kepada pelajar terutamanya bagi golongan kurang berkemampuan.

"Penyediaan juadah berbuka puasa ini dibiayai hasil sumbangan dan kutipan kakitangan UTeM serta pelbagai lapisan masyarakat selain peruntukan mengurus Pusat Islam UTeM, Tabung Kewangan Masjid Sayyidina Abu Bakar dan Tabung Amal Jariah UTeM yang berjumlah lebih RM130,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Massila berkata program itu seiring dengan objektif untuk mengimarahkan bulan Ramadan yang istimewa buat semua warga UTeM dan dalam masa yang sama memperkukuh kerjasama dan kerja berpasukan dalam menjayakan program itu secara konsisten.

“Penganjuran majlis ini tentunya mampu memanfaatkan ruang dan peluang agar bersama-sama menikmati keberkatan dan kasih Ramadan buat semua.

“Inilah medan yang menzahirkan hikmah memberi dan menerima antara kakitangan dengan pelajar seterusnya menjalin ukhuwah berpanjangan,” katanya.

-- BERNAMA