Kpdn Laksana Kaji Selidik Dapatkan Maklum Balas Sambutan Pengunjung Di Bazar Ramadan
KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan satu kaji selidik bagi mendapatkan maklum balas secara terus daripada peniaga berhubung sambutan pengguna terhadap aktiviti jualan bazar Ramadan pada tahun ini.
Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kajian selama 10 hari itu melibatkan seramai 1,148 responden mewakili peniaga bazar Ramadan seluruh negara bermula 31 Mac lepas.
"Ia melibatkan bazar Ramadan di kawasan bandar, luar bandar dan bazar Ramadan peringkat negeri. Kajian ini bertujuan menilai sambutan pengguna dan melihat aspek keuntungan yang diperoleh peniaga.
"Kaji selidik ini juga mengumpulkan maklumat berhubung hasil jualan yang diperoleh berbanding sasaran jualan oleh peniaga itu sendiri," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.
Mengulas mengenai dapatan kaji selidik itu, Salahuddin berkata daripada jumlah keseluruhan responden itu, 69 peratus peniaga menyatakan peningkatan pengunjung di premis mereka manakala 31 peratus peniaga memberi maklum balas berlakunya penurunan.
Beliau berkata sebanyak 63 peratus peniaga pula menyatakan peningkatan hasil jualan dan sejumlah 70 peratus peniaga menyatakan terdapat peningkatan pada keuntungan.
"Nilai jualan dan keuntungan yang diperoleh peniaga dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti jenis makanan atau minuman popular, harga berpatutan, cuaca, kos sewaan tapak dan turun naik harga bahan mentah," katanya.
Mengambil kira luahan peniaga bazar Ramadan, Salahuddin berkata KPDN bercadang untuk berkolaborasi bersama kementerian dan agensi-agensi berkaitan bagi mempertingkatkan usaha dalam mempromosikan bazar Ramadan pada masa akan datang.
"Selain itu, terdapat juga pandangan untuk mengadakan libat urus supaya sewaan tapak ini dapat dikurangkan. Ini juga saya ambil perhatian dan merasakan penting untuk KPDN mengadakan perbincangan dan rundingan dengan pihak-pihak terlibat," katanya.
Beliau turut menasihati peniaga bazar Ramadan untuk sentiasa mematuhi peraturan, meletakkan tanda harga dengan jelas dan menjaga kualiti makanan yang dijual.
Pengguna juga dinasihatkan agar bijak ketika berbelanja. Sebarang aduan berhubung salah laku peniaga boleh disalurkan di laman rasmi KPDN menerusi pautan e.aduan.kpdn.gov.my, aplikasi Whatsapp di talian 019-2794317 dan aplikasi Ez ADU KPDN.
-- BERNAMA