Bazar Ramadan: 120 Pengendali Makanan Di Kelantan Dikenakan Kompaun

05/04/2023 06:03 PM

KOTA BHARU, 5 April (Bernama) -- Seramai 120 pengendali makanan Bazar Ramadan di Kelantan telah dikenakan notis kompaun di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009, setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak memakai apron, kasut, penutup kepala dan pakaian yang tidak bersih dengan nilai keseluruhan kompaun sebanyak RM12,000.

"Pada tahun ini, sebanyak 66 Bazar Ramadan berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan di Kelantan dengan peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding tahun lalu.

Oleh itu, JKNK telah menubuhkan 42 pasukan pemantau terdiri daripada 214 anggota kesihatan pelbagai kategori bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk memastikan makanan yang dijual selamat dimakan dan tidak menjadi punca kepada kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti demam kepialu dan taun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Perhati dan Pilih Bazar Ramadan 2023 di Mydin Tunjong, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata pihaknya turut membuat ujian terhadap sampel makanan secara rawak kepada pengendali di Bazar Ramadan bagi mengenal pasti tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual.

"Selain itu, informasi pendidikan kesihatan turut dijalankan secara aktif membabitkan sebanyak 1,787 sesi kepada pengunjung dan peniaga makanan.

Sehingga kini, tiada aduan dan kes keracunan makanan berlaku di Kelantan yang mana secara keseluruhan tahap kebersihan premis makanan di Bazar Ramadan sebanyak 91 peratus dan berada pada tahap memuaskan," katanya.

Beliau berkata imbasan kod aduan turut disediakan kepada pengguna sebagai tindakan penyiasatan pantas oleh pihak Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan negeri berhubung kebersihan dan keselamatan makanan yang dilaporkan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada terdapat berlakunya mogok doktor kontrak di Kelantan, beliau berkata tiada laporan dan protes yang dilakukan oleh 1,400 doktor kontrak di negeri ini ketika ini.

-- BERNAMA