9,000 Metrik Tan Sisa Pepejal Pada Minggu Pertama Ramadan Di Kedah

05/04/2023 06:17 PM

JITRA, 5 April (Bernama) --  Sejumlah 9,000 metrik tan jumlah sisa pepejal dikumpulkan pada minggu pertama Ramadan tahun ini berbanding 8,800 metrik tan dalam tempoh sama tahun lepas di Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd Zaki Abdul Aziz Daud berkata peningkatan sebanyak tiga peratus itu berpunca daripada janaan sampah harian dari premis kediaman, perniagaan dan bazar Ramadan. 

"Saya menasihatkan orang ramai agar lebih berhemah dalam menyediakan juadah berbuka dan ketika sambutan Aidilfitri bagi mengelak pembaziran makanan kerana pembaziran makanan menyumbang 40 peratus sampah di tapak pelupusan.

"E-Idaman akan melaksanakan penambahan khas kutipan sisa pukal dan kebun di taman perumahan yang dikenal pasti menghasilkan lebihan janaan. Perkhidmatan kutipan sisa dan pembersihan awam juga akan beroperasi seperti biasa malah dilanjutkan pada malam hari perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita pada Majlis Ramadan Kita E-Idaman dengan kerjasama Pejabat Zakat Kubang Pasu, Yayasan Jariah Aafiyat dan Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di sini hari ini.

Sementara itu, pada program berkenaan, sebanyak enam keluarga asnaf di daerah Kubang Pasu terpilih menerima bantuan wang tunai, barangan makanan serta kuih raya bagi meringankan beban dalam menyediakan kelengkapan hari raya.

Seorang penerima, Azila Ahmad, 39, yang mempunyai 10 anak dengan tujuh daripadanya masih bersekolah berkata beliau bersyukur bantuan yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kos sara hidup keluarganya menyambut Aidilfitri nanti.

"Walaupun menerima bantuan bulanan zakat sebanyak RM1,000 sebulan, pendapatan suami dengan mengambil upah mesin rumput sebanyak RM200 seminggu masih belum mencukupi bagi menampung keperluan hidup dan persekolahan anak-anak.

"Baju raya pun belum fikir lagi sebab duit banyak digunakan untuk keperluan anak yang bersekolah, kalau ada pun ala kadar saja… tetapi saya bersyukur sebab dikurniakan anak-anak yang faham keadaan kami buat masa ini," kata yang menetap di Jalan Masjid Jitra di sini.

-- BERNAMA