Kanak-kanak Jagaan Al barakh Diraikan Dalam Majlis Berbuka Puasa Exim Bank

07/04/2023 11:03 PM

KUALA LUMPUR,7 April (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) meraikan dan menceriakan lebih 45 kanak-kanak dan penjaga mereka daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh pada majlis berbuka puasa bank itu di sini hari ini.

Terdahulu, sukarelawan daripada bank itu membawa kanak-kanak berkenaan dan penjaga mereka untuk membeli-belah baju raya dan keperluan Aidilfitri. 

EXIM Bank juga menyumbangkan RM10,000 kepada pertubuhan itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank Arshad Mohamed Ismail dalam ucapan beliau pada majlis itu berkata usaha ini menunjukkan hubungan antara bank ini dan masyarakat tidak semestinya terhad kepada program kewangan dan perniagaan sahaja.

Beliau berkata program iftar hari ini juga merupakan cara bank ini menghargai sumbangan staf dan pengurusannya.

Selain daripada majlis iftar itu, EXIM Bank juga menyampaikan sumbangan kepada yayasan kanser dan Pusat Jagaan Al Fikrah yang merupakan antara aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) dalam bulan Ramadan ini.

-- BERNAMA