Raih Hingga Rm300 Sehari Jual Daun Palas Minyak
Oleh Azli Shafii
PASIR MAS, 8 April (Bernama) -- Menjelang ketibaan hari lebaran tidak lama lagi, seorang peniaga buah-buahan yang beralih tumpuan perniagaannya kepada jualan daun palas minyak, kini memperoleh pendapatan lebih tinggi daripada biasa, disebabkan permintaan kepada bahan itu yang cukup tinggi.
Mohd Nasirman Abdullah, 42, berkata oleh kerana ramai yang membeli daun palas agak awal sebagai persediaan untuk menyambut hari lebaran kerana risau bekalannya yang terhad, beliau kini boleh menambah pendapatannya RM200 hingga RM300 sehari.
"Saya menjual daun palas itu dengan harga RM18 bagi 100 batang. Kebiasaanya pelanggan saya adalah penduduk sekitar daerah Pasir Mas, Tanah Merah dan Rantau Panjang," katanya ketika ditemui Bernama di gerainnya di Cabang Tiga Kampung Banggol Petai, di sini hari ini.
Beliau berkata daun palas minyak itu diperoleh daripada pencari daun berkenaan di sekitar Kampung Banggol Petai, Bukit Tuku, Alor Pasir dan Batu Karang, dan beliau menjangka permintaan untuk daun palas itu akan terus melonjak dalam dua atau tinga minggu lagi apabila Hari Raya Aidilfitri semakin hampir.
Mohd Nasirman berkata daun palas minyak menjadi pilihan ramai untuk menyediakan hidangan tradisional ketupat di pagi Hari Raya, kerana apabila dibungkus dengan daun palas, rasanya lebih enak.
Menurutnya proses mendapatkan daun palas minyak yang tumbuh liar di kawasan hutan bukanlah perkara yang mudah, adakalanya terpaksa berdepan dengan binatang berbisa seperti ular dan tebuan.
-- BERNAMA