Bazar Ramadan Dalam Kawasan Masjid Al Busyra Usaha Imarah Rumah Ibadat
SUNGAI PETANI, 9 April (Bernama) -- Pengurusan Masjid Al Busyra di Merbok dekat sini mengambil pendekatan menganjurkan bazar Ramadan di dalam kawasan masjid itu sebagai satu daripada usaha mengimarahkan rumah ibadat berkenaan.
Imam yang juga pengerusi masjid itu, Mohd Firdaus Mat Akhir, 35, berkata usaha seumpama itu dilihat menggalakkan umat Islam terutama golongan muda datang menunaikan solat di situ sekali gus mendekatkan diri mereka dengan masjid.
"Memang dari awal, usaha kita jadikan masjid ini dengan konsep masjid R&R (Rehat dan Rawat) untuk mengimarahkan masjid, kemudian datang idea untuk buka bazar Ramadan dalam kawasan masjid memandangkan ada ruang yang mencukupi untuk kita buka bazar di bawah seliaan Koperasi Masjid Al Busyra ini.
"Apabila orang datang untuk membeli juadah berbuka di bazar di masjid ini, jika mereka belum menunaikan solat Asar, mereka boleh singgah sebentar solat di masjid, dengan ini boleh mengimarahkan lagi masjid," katanya kepada pemberita di masjid berkenaan baru-baru ini.
Mohd Firdaus berkata penganjuran bazar Ramadan di dalam kawasan masjid itu dimulakan tahun lepas, namun hanya beroperasi beberapa hari dengan disertai kira-kira 20 peniaga ketika itu berikutan kurang promosi.
"Alhamdulillah, bazar Ramadan tahun ini mendapat sambutan yang luar biasa, saya aktif membuat promosi dalam platform media sosial seperti TikTok sekali gus dapat menarik perhatian pengunjung untuk datang ke bazar Ramadan ini.
"Bukan setakat orang di sini (Merbok) saja datang, bahkan ada dari Perak dan Pulau Pinang. Mereka bukan hanya datang untuk ke bazar saja malah mengambil peluang berkunjung ke masjid ini," katanya yang turut memaklumkan keseluruhan keluasan kawasan Masjid Al Busyra kira-kira satu hektar.
Beliau berkata pihaknya mengenakan kadar sewaan tapak serendah RM500 sebulan dengan dilengkapi kemudahan seperti khemah, bekalan air dan elektrik kepada kira-kira 50 peniaga di bazar Ramadan itu.
“Kita juga ada cabutan bertuah kepada pengunjung bazar Ramadan dengan hadiah utama ialah gelang emas,” katanya dan menambah pihaknya merancang untuk memperluas tapak bazar dalam kawasan masjid itu antara 200 hingga 250 khemah peniaga pada tahun hadapan.
-- BERNAMA