Zayed Foundation Uae Sumbang Peralatan Perubatan Kepada Hkl, Taja Iftar Pada Hari Kemanusiaan Zayed

11/04/2023 09:24 AM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Zayed Charitable & Humanitarian Foundation, sebuah pertubuhan amal Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Isnin menyumbang peralatan perubatan kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) sempena Hari Kemanusiaan Zayed dan Ramadan ke-19 setiap tahun.

Peralatan itu terdiri dua mesin pernafasan tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP) dan lima kerusi roda ringan, disampaikan oleh Duta UAE ke Malaysia Khalid Ghanim Alghaith kepada pengarah HKL Datin Dr Rohana Johan.

Yayasan berkenaan turut menaja juadah berbuka puasa untuk 250 petugas hospital dan pekerja serta menaja kos dua kaki palsu untuk seorang pelarian Somalia di Kuala Lumpur.

Duta itu memberitahu Bernama bahawa Hari Kemanusiaan Zayed disambut buat pertama kali di Malaysia tahun ini dengan penglibatan sebuah hospital terbesar di negara ini.

"Walaupun ini merupakan sambutan pertama Hari Kemanusiaan Zayed di Malaysia, kami hadir di sini setiap tahun. Kami berbangga dengan projek amal kami ini yang mendapat kerjasama rakan sejawatan kami di Malaysia," katanya.

Beliau berharap peralatan perubatan itu dapat memberi manfaat kepada pesakit daripada keluarga yang kurang berkemampuan selain membantu HKL menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada mereka yang memerlukan.

Hari Kemanusiaan Zayed diselaraskan oleh Kedutaan UAE di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial dan program Ramadan.

Bagi Ramadan tahun ini, kedutaan UAE berkata pihaknya menyediakan bungkusan makanan untuk 2,000 keluarga di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pahang.

"Kami juga menaja kira-kira lebih 5,000 juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan yang dibiayai oleh badan amal kami," menurut kedutaan.

-- BERNAMA