Ptptn Agih Lebih 13,000 Bekas Bubur Lambuk Sempena Program Imarah Ramadan

11/04/2023 05:10 PM

IPOH, 11 April (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengagihkan kira-kira 13,400 bekas bubur lambuk menerusi Program Imarah Ramadan (IMRAN), yang bermula pada 28 Mac lepas hingga hari ini.

Pengurus Besar Kanan PTPTN Mohd Rusdi Ismail berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dijalankan di 14 institusi pengajian tinggi (IPT) serta politeknik terpilih di seluruh negara.

"Program IMRAN di IPT dan politeknik merupakan program 'signature' di bawah CSR PTPTN yang diadakan sejak 2021. Program ini melibatkan aktiviti gotong-royong antara kakitangan PTPTN, kakitangan IPT, Majlis Perwakilan Pelajar dan para pelajar dalam menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada pelajar dan masyarakat setempat. 

"Program ini juga bertujuan menjalin hubungan baik dengan masyarakat terutama pelajar IPT dan mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh rahmat ini," katanya berucap pada program IMRAN di Politeknik Ungku Omar yang dirasmikan Pengarahnya Dr Shamsuri Abdullah di sini hari ini.

Sementara itu, Shamsuri berkata program IMRAN menggalakkan budaya saling membantu dan bekerjasama selain memberi pengalaman berharga kepada seluruh warga Politeknik Ungku Omar khususnya pelajar. 

"Program seperti ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara warga politeknik dan PTPTN. Saya juga optimis program ini mampu meningkatkan perspektif positif masyarakat tentang PTPTN," katanya.

-- BERNAMA