Minat Mendalam Terhadap Seni Warisan, Dorong Siswazah Muda Ukm Jadi Pembuat Songkok  

12/04/2023 09:20 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Di usia muda sepertinya, mungkin ramai memilih kerjaya yang menjanjikan pendapatan tetap, namun Mohamad Zur Ain Abdul Rahman Zaki berbeza apabila mengikut jejak langkah bapa saudaranya sebagai pembuat songkok secara tradisional sejak lebih 25 tahun lepas.

Pemuda berusia 30 tahun itu berpendapat seni warisan itu harus dipertahan dan terus dipelihara kerana merupakan satu daripada busana perhiasan masyarakat Melayu.

“Saya minat seni pembuatan songkok sejak dari kecil lagi. Minat itu semakin menebal selepas melihat pak cik melakukannya dan kemudian mencubanya sendiri.

“Songkok pertama yang saya jahit mengambil masa selama sehari untuk disiapkan hasil bimbingan daripada pak cik,” katanya kepada Bernama.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata disebabkan minat mendalam, dia nekad membuka kedai sendiri di Dengkil, Selangor, pada 2018 bagi menjenamakan semula songkok buatan bapa saudaranya itu.

Menerusi jenama Pak Tam, Mohamad Zur Ain mengekalkan keistimewaan songkok diperbuat dengan tangan dan material digunakan, diimport khas dari Korea Selatan.

“Bahan utamanya adalah kain baldu terdiri daripada warna hitam atau navy blue pelbagai gred dan antara ciri menariknya adalah tahan lama bergantung kepada cara pemakaiannya.

“Istimewanya songkok ini, ia menggunakan kain berwarna merah sebagai pelapik di bahagian dalam untuk keselesaan dan bukannya plastik seperti songkok buatan kilang yang terdapat di pasaran,” katanya.

Pembuatannya yang halus dan kemas menjadikan Songkok Pak Tam dijual pada harga antara RM40 hingga lebih RM500, bergantung kepada jenis material dan saiz digunakan selain ditempah khas bagi mereka mementingkan kualiti dan keselesaan.

“Apa yang penting, pembuatan songkok memerlukan kesabaran tinggi dan ketelitian serta tidak boleh dilakukan dengan sikap asal siap kerana ia mempengaruhi penampilan si pemakai.

“Semua songkok ini saya buat sendiri untuk menjaga kualiti. Biasanya, saya boleh menyiapkan satu songkok dalam tempoh setengah jam dan kira-kira 10 biji songkok sehari,” katanya.

Kebiasaannya, Mohamad Zur Ain berkata permintaan terhadap songkok akan meningkat menjelang cuti persekolahan, musim perkahwinan atau sambutan Hari Raya.

“Tahun ini, saya menerima lebih 1,000 tempahan songkok untuk Aidilfitri selain menyimpan stok lebih 1,000 songkok ready-made pelbagai saiz hasil kerja tangannya sejak beberapa bulan lepas.

“Kali ini, permintaan terhadap songkok agak merudum berbanding tahun lepas berikutan pertembungan antara persiapan sesi persekolahan baharu, Ramadan dan sambutan Hari Raya yang memerlukan perbelanjaan besar,” katanya yang turut mendapat tempahan daripada orang kenamaan.

Walaupun kerja sebagai pembuat songkok dilihat tidak glamor, namun bagi Mohamad Zur Ain, kerjaya itu dipilih demi memastikan kelangsungan seni warisan itu.

“Generasi hari ini dilihat tidak gemar mengamalkan pemakaian songkok sebagai satu identiti budaya Melayu bahkan mereka juga tidak berminat untuk belajar membuatnya selain kurang promosi terhadap aksesori kepala itu,” katanya.

-- BERNAMA