Bertahan Lebih 50 Tahun, Rendang Tok Mak Nik Kekal Keaslian

12/04/2023 11:15 AM

Oleh Syamsiah Sahat

IPOH, 12 April (Bernama) -- Menjelang Syawal, antara menu wajib di atas meja makan di pagi Aidilfitri ialah rendang, selain ketupat dan lemang. 

Bercakap tentang rendang pula, rendang tok negeri Perak antara yang sering menjadi pilihan penggemar juadah itu. 

Pengusaha Rendang Tok Mak Nik, Sharifuddin Mohamed berkata rendang tok negeri Perak mempunyai rahsia keistimewaan sendiri dengan keaslian rasanya yang tiada bandingan. 

"Rempah ratusnya cukup, dimasak sehingga empat jam, boleh tahan sehingga tiga minggu, sesuai untuk semua peringkat usia termasuk kanak-kanak, sesuai dimakan dengan pelbagai juadah lain seperti nasi lemak, roti selain nasi impit dan lemang," katanya membuka kisah mengenai rendang ‘signature’ atau istimewa bagi negeri Perak itu, ketika ditemui Bernama di premisnya di Kampung Pasir Putih dekat sini. 

Sharifuddin berkata bagi perusahaan Rendang Tok Mak Nik pula, untuk memenuhi permintaan pelanggan sepanjang Ramadan ini, beliau serta pekerja memasak dua hingga tiga tan rendang, berbanding 800 kilogram sebulan di luar musim perayaan.

Diasaskan sejak 1959 oleh ibunya, Allahyarham Nafisah Yeop Abdullah (Mak Nik), Rendang Tok Mak Nik tidak menggunakan bahan pengawet dan masih mengekalkan keaslian rasanya sejak lebih 50 tahun. 

Dijenamakan di bawah 'Royale Rendang', Rendang Tok Mak Nik tidak hanya menampung permintaan di seluruh Perak tetapi juga melangkau pasaran negeri lain termasuk Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagi memudahkan pelanggan, menurut Penolong Pengurus Royale Rendang, Megat Syahrin Megat Aris, Rendang Tok Mak Nik dibungkus dengan teknik pembungkusan retort dan dipek dalam kotak.

Katanya, rendang itu lebih mudah disediakan iaitu dengan hanya menuang air panas lalu sedia untuk dihidangkan. 

“Selain menjual Rendang Tok Mak Nik, Royale Rendang juga menjual serunding ayam dan daging, ketupat palas sejuk beku dan lemang menjelang Syawal,” katanya.

Menceritakan keistimewaan Rendang Tok Mak Nik, Megat Syahrin berkata selain menjadi pilihan orang ramai, rendang syarikatnya juga mendapat perhatian pihak istana dan ditempah untuk tujuan majlis keraian bersama rakyat sepanjang Ramadan dan Syawal.

Sharifuddin turut berkongsi kisah bagaimana juadah itu mendapat nama, iaitu suatu ketika dahulu ia merupakan hidangan istana untuk pembesar-pembesar negeri yang bergelar ‘datuk’ justeru dipanggil ‘rendang tok’. 

Lebih menarik, katanya, ibu kepada Mak Nik yang juga neneknya pernah menjadi pembantu dapur di Istana Perak pada dekad lewat 1950an dan sering menghidangkan masakan itu untuk golongan istana sehingga ia diberi julukan Rendang Diraja atau Royale Rendang.

-- BERNAMA