Sekitar 300 Orang Berkumpul Di Jakarta Untuk Majlis Berbuka Puasa, Khatam Al-quran

13/04/2023 02:23 PM

JAKARTA, 13 April (Bernama) -- Kira-kira 300 rakyat Malaysia pada Rabu menghadiri majlis Khatam al-Quran dan berbuka puasa di Kedutaan Besar Malaysia di sini sempena Ramadan.

Acara tahunan itu dihoskan oleh Kedutaan dan Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN dengan kerjasama Malaysia Club Jakarta dan Pendidikan Malaysia Indonesia.

“Matlamat kami adalah untuk menyambut Ramadan bersama-sama kerana majlis pada tahun sebelumnya dibuat secara terhad akibat pandemik COVID-19,” kata Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin.

Beliau berkata acara itu berfungsi sebagai platform baik untuk mengeratkan hubungan kedutaan-diaspora dan membolehkan beliau beramah mesra dengan rakyat Malaysia di sini.

“Insya-Allah, kita akan kembali bertemu semula tidak lama lagi untuk menyambut Hari Raya,” katanya.

Terdahulu, majlis Khatam al-Quran diadakan untuk 42 kakitangan kedutaan dan Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan) yang menyempurnakan bacaan 30 juzuk al-Quran.

Majlis berkenaan dipimpin oleh Atase Keagamaan Mohd Shamsuri Ghazali dengan bacaan surah Al-Fatihah diikuti bacaan surah yang lain secara beramai-ramai.

Program itu merupakan sebahagian daripada aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan bagi meningkatkan kualiti bacaan Al-Quran dalam kalangan peserta.

Majlis berbuka puasa pada pukul 5.53 petang waktu tempatan itu dihadiri pegawai kerajaan, wakil perniagaan dan pelajar sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.

-- BERNAMA