Bekalan Makanan Di Perak Mencukupi Semasa Ramadan, Menjelang Aidilfitri - Mb
IPOH, 13 April (Bernama) -- Bekalan makanan utama di Perak mencukupi bagi menampung keperluan rakyat negeri itu sepanjang bulan Ramadan dan menjelang perayaan Aidilfitri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata setakat ini Perak tidak mengalami sebarang ketidakcukupan bekalan makanan utama termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan sepanjang Ramadan.
"Malah pengeluaran tanaman tembikai, cili dan sayur berdaun yang menjadi tumpuan ketika bulan Ramadan meningkat sehingga suku tahun pertama tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Riang Ria Promosi dan Jualan Produk Industri Asas Tani anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perak di sini, hari ini.
Bagaimanapun Saarani berkata terdapat kenaikan harga sayuran ketika ini, susulan kebanyakan sayuran dan buah-buahan di negeri ini dihantar ke negeri lain seperti Johor yang terkesan akibat banjir.
Dalam pada itu, Saarani berkata trend pengeluaran tanaman makanan utama menunjukkan peningkatan untuk komoditi sayur-sayuran iaitu 134,877 metrik tan tahun lepas, berbanding 125,308 metrik tan pada 2021.
"Bagi komoditi buah-buahan juga memperlihatkan peningkatan jumlah pengeluaran sebanyak 123,215 metrik tan tahun lepas, berbanding 121,458 metrik tan pada 2021," katanya.
Beliau berkata seramai 13,378 petani telah berdaftar di bawah Jabatan Pertanian Negeri dan Perak adalah pengeluar utama sayuran dan buah-buahan dalam tempoh lima tahun, antaranya bayam, bendi dan sawi dan komoditi buah utama ialah jambu batu, jagung dan mangga.
Katanya daerah Larut, Matang dan Selama merupakan pengeluar buah-buahan terbesar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 30,260 metrik tan manakala Kinta merupakan pengeluar sayur-sayuran terbesar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 69,373 metrik tan sepanjang tahun lepas.
-- BERNAMA