Ambil Kira Aspek Geografi Lulus Balai Bomba Baharu Di Sarawak - Timbalan Premier
KUCHING, 13 April (Bernama) -- Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berharap agar kerajaan Persekutuan menilai syarat kelulusan pembinaan balai bomba tambahan di negeri ini berdasarkan aspek geografi.
Beliau berkata kaedah pernilaian sedia ada berdasarkan populasi adalah tidak relevan untuk diguna pakai di Sarawak yang mempunyai kawasan yang luas serta mempunyai kependudukan yang bertaburan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Sebagai contoh, mereka di pedalaman juga perlu mendapatkan hak yang sama dari segi kesihatan sepertimana mereka yang tinggal di bandar, begitu juga dari segi hak untuk mendapatkan kemudahan balai bomba.
“Dalam isu ini, semua Ahli Parlimen dari Sarawak haruslah sebulat suara mengutarakan keperluan untuk menambah balai bomba di negeri ini dalam usaha menyampai perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Aidilfitri di Bazar Ramadan, Pasar Komuniti Stutong di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datuk Khirudin Drahman berkata berdasarkan kajian risiko yang dibuat, Sarawak memerlukan sejumlah 60 balai bomba, namun setakat ini balai sedia ada adalah sebanyak 39 balai sahaja.
“Kita faham ia berdasarkan peruntukan kerajaan, tetapi kita merayu agar kamus (kaedah) untuk mengambil kira pembinaan balai di Sarawak ini tidak harus mengikut kamus di Semenanjung, beri satu pertimbangan khas.
“Perkara ini kita telah utarakan kepada kerajaan pusat, perlindungan kebakaran yang maksimum perlu ada, jika tidak dapat menyediakan balai kategori besar seperti di bandar, sediakan kategori khas,” katanya.
Tambah Khirudin, JBPM Sarawak turut diperkuatkan oleh 56 pasukan bomba sukarela dan sekiranya ada peruntukan khas, balai bomba kategori E dapat dibina untuk pasukan sukarelawan ini terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri itu.
-- BERNAMA