Niaga Hadapan Msm Terus Catat Aliran Penurunan Pada Penutup

13/04/2023 10:26 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) terus mencatatkan aliran penurunan untuk ditutup rendah hari ini, meneruskan jualan mulai Rabu.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata antara sebabnya ialah Indonesia mengkaji semula dasar eksportnya untuk mengawal selia bekalan domestik selepas permintaan mencatatkan paras tertinggi pada bulan Ramadan.

Katanya eksport minyak sawit Malaysia merosot pada 1-10 April manakala data Persatuan Pengilang Minyak Sawit Selatan Semenanjung Malaysia (SPPOMA) menunjukkan pengeluaran minyak sawit telah meningkat daripada asas rendah pada Mac.

“Masih tidak diketahui berapa banyak pengeluaran minyak sawit Malaysia telah pulih. Kami hanya mendapat petunjuk daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan anggaran UOB Kay Hian untuk tempoh 20 April,” katanya.

Seorang lagi peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran niaga hadapan MSM ditutup rendah berikutan tekanan yang meningkat daripada pengeluaran yang tinggi dalam tempoh beberapa minggu akan datang dan harga minyak kacang soya yang rendah.

“Kami mengesan paras sokongan pada RM3,500 satu tan dan paras halangan pada RM4,000 satu tan,” katanya kepada Bernama. 

Pada penutup, kontrak bulan semerta April 2023 merosot RM70 kepada RM4,100 satu tan, Mei 2023 berkurangan RM74 kepada RM3,900 satu tan dan Jun 2023 susut RM62 kepada RM3,713 satu tan.

Kontrak Julai 2023 merosot RM47 kepada RM3,596 satu tan, Ogos 2023 berkurangan RM33 kepada RM3,537 satu tan dan September 2023 susut RM26 kepada RM3,514 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 81,845 lot daripada 86,641 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 203,415 kontrak daripada 201,404 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan merosot RM30 kepada RM4,250 satu tan.

-- BERNAMA