Op Raya: Jabatan Kesihatan Melaka Keluarkan 29 Kompaun

14/04/2023 03:10 PM

MELAKA, 14 April (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengeluarkan 29 kompaun keseluruhan bernilai RM47,500 melibatkan pelbagai kesalahan menerusi Op Raya 2023 bermula 1 April hingga hari ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata kompaun itu dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 seperti pembungkusan, pelabelan iaitu tiada alamat pengimport dan makanan tamat tarikh luput.

“Sebanyak 42 premis diperiksa di ketiga-tiga daerah negeri ini melibatkan pasar mini, kedai runcit dan pasar raya sepanjang tempoh pelaksanaan Op Raya dengan sejumlah 1,111 makanan disita bernilai RM6,552.

“Kita juga dapati segelintir peniaga masih mengabaikan tanggungjawab memastikan makanan tamat tarikh luput dan bungkusan rosak dialihkan daripada rak jualan, serta tidak mematuhi aspek kebersihan premis,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Op Raya di sebuah pusat beli belah di Ayer Keroh, yang turut disertai Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Ngwe berkata pengeluar dan peruncit perlu memberi keutamaan dalam aspek keselamatan makanan dijual, selain Jabatan Kesihatan negeri juga akan terus meningkatkan pemantauan ke atas semua premis jualan di sekitar negeri itu agar mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata enam kompaun bernilai RM600 dikeluarkan kepada peniaga bazar Ramadan di negeri itu, setelah peringatan yang diberikan masih tidak dipatuhi. 

“Antaran kesalahan dilakukan ialah tidak memakai apron dan tidak menutup rambut, selain kesalahan membabitkan aspek kebersihan.

“Di samping itu kita ingin ingatkan mana-mana peniaga agar tidak menggunakan minyak untuk memasak melebihi tiga kali bagi memastikan kualiti makanan dijual kepada pembeli tidak terjejas,” katanya.

-- BERNAMA