Kementerian Siap Siaga Hadapi Kemungkinan Jerebu- Nik Nazmi
KUALA TERENGGANU, 14 April (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sedang bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlakunya fenomena jerebu ekoran cuaca panas yang melanda Semenanjung negara kini.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata antara yang sedang dilakukan adalah pemantauan di kawasan yang ‘sensitif’ seperti tanah gambut, kawasan yang mudah terbakar dan kawasan lain yang sering berlaku pembakaran terbuka.
“Ada kemungkinan (berlaku jerebu) dan kita (kementerian) akan mengadakan mesyuarat tentang isu jerebu ini dalam masa terdekat.
“Sebenarnya kita sudah ada sistem untuk bersiap sedia menghadapi jerebu cuma dalam dua atau tiga tahun ini sebab COVID (COVID-19) jadi bila isu COVID ini kita tengok masalah pembakaran dan sebagainya kurang, (aktiviti) industri pun kurang, jadi kali ini keadaan sudah kembali sedia kala jadi kita bersedia untuk berdepan dengan fenomena tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Iftar Ramadan, di sini, hari ini.
Nik Nazmi berkata kementerian sedang melakukan persiapan dari segi bekalan air termasuk bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekiranya berlakunya isu kekurangan bekalan air ekoran taburan hujan yang kurang.
Bernama semalam melaporkan fenomena bahang cuaca panas yang melanda Semenanjung negara adalah disebabkan pemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari dan taburan hujan yang kurang.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata setakat Rabu, suhu maksimum harian merekodkan 37 darjah Celcius melibatkan negeri-negeri utara Semenanjung dan pedalaman Kelantan dan Pahang.
Namun, Muhammad Helmi berkata fenomena ini dijangka tidak berlarutan terlalu lama disebabkan hujan dijangka berlaku di kebanyakan tempat dalam beberapa hari akan datang.
-- BERNAMA