Aktiviti Pengambilan Untung Dijangka Berlaku Dalam Niaga Hadapan Msm Minggu Depan

15/04/2023 10:10 AM

Oleh Rosemarie Khoo

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan aktiviti pengambilan untung yang bergerak dalam lingkungan RM3,500 hingga RM3,600 satu tan memandangkan bulan Ramadan akan berakhir minggu depan.

Peniaga minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata kebanyakan kilang sawit dan peniaga antarabangsa akan bercuti untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Stok kami menunjukkan prestasi yang agak baik dan saya merasakan pembeli mempunyai jaminan stok dengan baik pada awal bulan Ramadan, terutamanya dari India, Pakistan, negara Timur Tengah dan beberapa bahagian di China.

"Spekulator juga akan berehat semasa musim perayaan, justeru aktiviti pengambilan untung dan pasaran lebih tenang minggu depan," katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, pasaran MSM kebanyakannya didagangkan lebih rendah, menjejaki prestasi niaga hadapan minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago dan pasaran niaga hadapan olein sawit Bursa Komoditi Dalian di tengah-tengah kebimbangan terhadap inventori yang terhad, eksport minyak sawit yang lemah dan aktiviti pengambilan untung.

Terdapat juga kebimbangan langkah semakan semula Indonesia terhadap dasar eksportnya untuk mengawal bekalan domestik selepas permintaan memuncak pada Ramadan.

Semasa minggu dagangan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia melaporkan jumlah stok minyak sawit Malaysia susut 21.08 peratus kepada 1.67 juta tan pada Mac daripada 2.12 juta tan yang dicatatkan bulan sebelumnya.

Pada asas mingguan, kontrak bulan semerta April 2023 turun RM120 kepada RM4,100, Mei 2023 susut sebanyak RM43 kepada RM3,911 dan Jun 2023 merosot RM92 kepada RM3,702 satu tan.

Kontrak bulan Julai 2023 susut RM132 kepada RM3,566 satu tan, Ogos 2023 turun RM149 kepada RM3,503 satu tan dan September 2023 berkurangan RM141 kepada RM3,480 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 387,227 lot daripada 295,561 lot, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 204,264 kontrak daripada 196,321 kontrak pada akhir minggu lepas.

Harga MSM fizikal untuk April Selatan turun RM50 kepada RM4,250 satu tan.

-- BERNAMA