Cencaru Bakar Rm1.50 Laris Hingga 2,000 Terjual Setiap Hari

15/04/2023 12:27 PM

GUA MUSANG, 15 April (Bernama) -- Sebuah gerai milik dua beradik di sini mencuri tumpuan orang ramai apabila mereka menjual ikan cencaru bakar hanya pada harga RM1 hingga RM1.50 seekor bergantung pada saiz.

Harga rendah yang ditawarkan itu membuatkan mereka berjaya menjual hingga 2,000 ekor setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Pemilik gerai, Zuhairi Hashim, 33, berkata dia menggunakan kira-kira 200 kilogram (kg) ikan cencaru segar yang didatangkan dari Tok Bali, Pasir Puteh, setiap hari.

Dia yang juga berasal dari Tok Bali, dibantu adik-beradiknya dan ahli keluarga yang lain bagi menyediakan rempah dan kerja-kerja membersihkan ikan. 

“Kami bersama-sama menyiapkan rempah pada waktu malam dan mula menyiang ikan pada sebelah pagi selepas memperolehnya daripada pembekal. 

“Proses penyediaan rempah biasanya memakan masa empat ke lima jam dan dibuat setiap hari untuk menjamin kesegarannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di gerainya di Bandar Utama, di sini. 

Adiknya, Ahmad Aiman Hashim, 24, pula berkata sepanjang Ramadan ini mereka beroperasi bermula 3 petang hingga 7 petang, selain turut menjual ikan terubuk bakar pada harga RM17 seekor sebagai pilihan kepada pelanggan. 

“Niat asalnya selain berniaga kami juga ingin bersedekah. Alhamdulillah, walaupun untungnya kecil kita dapat membantu orang ramai untuk mampu membeli dan menikmati ikan bakar perapan rempah buatan kami sendiri. 

“Cencaru yang dijual adalah bersaiz kecil dan hidangan seekor sehingga dua ekor ikan mencukupi bagi seorang pelanggan makan,” katanya. 

Seorang pelanggan, Muhammad Saifullah, 24, berkata dia merupakan pengunjung tetap gerai tersebut bagi mendapatkan ikan bakar sebagai lauk berbuka puasa.  

“Bagi saya harga ini memang lebih daripada mampu milik dan kita tidak akan berjumpa harga sebegini di Gua Musang. Rasanya tetap sama dengan ikan bakar di warung lain yang dijual pada harga RM4 seekor,” katanya. 

-- BERNAMA