Bank Muamalat Bank Pertama Tawar Khidmat Ejen Fidyah

15/04/2023 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd melancarkan perkhidmatan kutipan fidyah di kaunter cawangannya di Wilayah Persekutuan dan negeri Selangor.

Pelancaran itu sekali gus menjadikan bank itu sebagai institusi perbankan Islam pertama dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Selangor ( MAIS) yang menawarkan khidmat nasihat, pengiraan dan pembayaran fidyah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairul Kamarudin berkata bagi peringkat pertama, perkhidmatan kutipan fidyah yang diperkenalkan ini adalah dengan kerjasama pihak Majlis Agama Islam MAIWP dan MAIS.

“Melangkah ke hadapan, pihak Bank akan mengadakan kerjasama dengan beberapa majlis agama Islam negeri lain untuk memperluaskan penawaran khidmat pembayaran fidyah di kaunter kepada umat Islam di seluruh negeri secara berperingkat.

“Ini adalah dalam usaha untuk menjadi pusat penyelesaian sehenti atau ‘one-stop solution’ dalam memenuhi semua keperluan kewangan serta memberi manfaat kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairul berkata pelanggan sedia ada Bank Muamalat dan orang ramai yang beragama Islam hanya perlu bertemu pegawai bertugas di cawangan untuk mendapatkan khidmat nasihat berhubung fidyah secara percuma serta membuat pembayaran terus di kaunter.

Bank Muamalat juga katanya pada bulan Ramadan ini menganjurkan inisiatif tahunannya dengan pelbagai program komuniti seperti enam siri jelajah majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, asnaf dan mualaf yang turut disertai para pengamal media dan rewang bubur lambuk di lebih 60 lokasi di seluruh negara.

Bantuan turut dihulurkan kepada sepuluh pertubuhan bagi tujuan pengurusan perbelanjaan operasi mereka serta sumbangan duit raya kepada lebih 300 individu dalam memastikan golongan kurang bernasib baik tidak ketinggalan dalam meraikan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang, katanya.

“Selain perlu menumpukan kepada operasi harian dan memberikan perkhidmatan berkualiti kepada para pelanggan, Bank Muamalat akan terus komited melaksanakan program-program seperti ini dalam membina hubungan erat dengan masyarakat dan komuniti setempat seterusnya mewujudkan jaringan yang lebih baik kepada semua pihak,” kata Khairul.

-- BERNAMA