Niaga Hadapan Msm Ditutup Tinggi Ekoran Stok Yang Rendah, Penggunaan Yang Tinggi

17/04/2023 11:07 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) ditutup tinggi hari ini berikutan stok tempatan yang semakin berkurangan disebabkan oleh pengeluaran yang lebih rendah dan penggunaan yang lebih tinggi pada bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri.

Laporan pada bulan Mac Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan jumlah stok minyak sawit Malaysia susut 21.08 peratus kepada 1.67 juta tan pada Mac daripada 2.12 juta tan yang dicatatkan bulan sebelumnya.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani memberitahu Bernama bahawa dalam tempoh 1-14 April, sekitar 270,453 tan MSM telah berlabuh di pelabuhan India.

“Sekitar 119,629 tan telah berlabuh dan berada di dermaga. Selain itu, 56,004 tan akan diimport untuk baki bulan April.

“Pemulihan positif semalaman dalam niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) daripada kerugian awal minggu lepas selain ringgit yang lebih lemah turut menyuntik sentimen yang lebih tinggi,” katanya.

Pada 6 petang, ringgit menyusut berbanding dolar AS kepada 4.4200/4250 daripada 4.4000/4025 pada penutup Jumaat.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata paras sokongan niaga hadapan MSM adalah pada RM3,400 setan, dan paras rintangan pada RM3,900 setan.

Pada penutup dagangan hari ini, kontrak Mei 2023 meningkat RM103 kepada RM4,014 setan, Jun 2023 naik RM85 kepada RM3,787 setan, dan Julai 2023 melonjak RM72 kepada RM3,638 setan.

Manakala kontrak Ogos 2023 mengukuh RM64 kepada RM3,567 setan, September 2023 dan Oktober 2023 masing-masing meningkat RM57 kepada RM3,537 setan dan RM3,528 setan.

Jumlah dagangan susut kepada 51,471 lot daripada 67,464 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka lebih rendah kepada 203,128 kontrak daripada 204,264 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan tidak berubah pada RM4,250 setan setakat Jumaat pada minggu lepas.

-- BERNAMA