Kepercayaan Pada Agama Menyatukan Rakyat Ukraine Dalam Konflik Semasa

18/04/2023 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Ketika Ukraine dan Rusia terus berperang, hanya satu perkara yang kekal tidak berubah - kepercayaan pada agama.

Walaupun konflik berterusan, kepercayaan inilah yang menyatukan rakyat Ukraine yang berbeza latar belakang agama dalam perjuangan mereka.

“Kini, ketika perang besar-besaran berterusan,... cuti keagamaan terus diraikan, malah dalam skala yang besar. Kepercayaan inilah yang mempersiap rakyat Ukraine untuk menempuh peperangan, yang menyatukan penganut berlainan agama dalam satu perjuangan menentang pencerobohan,” kata kolumnis bebas Oleksii Havryliuk dalam karyanya yang disediakan kepada Bernama oleh Kedutaan Ukraine di Malaysia.

Menurut Havryliuk, kerajaan Ukraine mengiktiraf Ramadan sebagai cuti rasmi keagamaan apabila majikan memenuhi permintaan pekerja Islam dengan melaraskan jadual kerja untuk membenarkan pekerja terbabit menunaikan solat dan berbuka puasa.

“Di Ukraine, masjid dan pusat Islam menganjurkan aktiviti khas sepanjang Ramadan, termasuk solat Tarawih, bacaan al-Quran serta kuliah agama,” katanya.

Havryliuk berkata pada 2022, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mencadangkan pemberian status cuti umum bagi sambutan keagamaan seperti Ramadan dan Kurban Bayram (Eid al-Adha) di Ukraine.

“Keputusan penting ini bertujuan mengangkat tradisi penduduk multinasional dan berbilang agama di negara ini ke peringkat negeri,” katanya.

Menurut kolumnis itu, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini beberapa bandar di Ukraine telah menganjurkan iftar awam (berbuka puasa) dengan orang Islam dan bukan Islam berkumpul untuk berbuka puasa dan mempelajari tentang Ramadan dan tradisi Islam.

“Acara seperti ini membantu untuk menggalakkan pemahaman dan rasa hormat terhadap masyarakat Islam di Ukraine,” kata Havryliuk.

Beliau berkata pada 2023, sewaktu awal Ramadan, masyarakat Islam merasmikan masjid baharu di Lviv, yang merupakan antara bandar terbesar di Ukraine yang sering disebut sebagai "ibu kota budaya".

"Pembukaan masjid pada bulan Ramadan mempunyai kepentingan tertentu, kerana ia akan menyediakan ruang khusus kepada umat Islam di Lviv untuk menunaikan ibadat dan menyambut bulan suci bersama keluarga dan rakan-rakan mereka," katanya.

Bagi penganut Kristian Ukraine, Paskah disambut dengan paska (kek Paskah tradisional), pysanky (telur dicat), air suci, dan sesi doa Paskah. Sukarelawan dan pendeta akan menyediakan barangan penting ini untuk  anggota tentera di barisan hadapan untuk turut meraikan hari itu.

Havryliuk berkata: “Sungguh menggembirakan dapat menyaksikan orang ramai berkumpul pada masa yang mencabar, seperti perang Rusia yang berterusan ke atas Ukraine.

“Walaupun perbezaan agama atau latar belakang etnik, rakyat Ukraine tetap bersatu untuk mempertahan negara mereka dan bersama-sama menentang pencerobohan musuh.

“Perpaduan ini juga terbukti baik di medan perang selain usaha untuk mengekalkan tradisi dan budaya di rumah,” katanya.

-- BERNAMA