Bernas Santuni Asnaf, Pesawah Sempena Ramadan Dan Menjelang Syawal
KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) baru-baru ini meraikan dan menyantuni lima keluarga asnaf yang terdiri daripada yatim piatu, petani dan golongan kurang berkemampuan di Perak menerusi Program Ikhlas Ramadan BERNAS.
BERNAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan keluarga asnaf berkenaan adalah dalam kalangan kariah Masjid Almuzakkirin, Kampung Chawi, Telok Intan, Perak iaitu sebahagian daripada komuniti Kilang Beras BERNAS (KBB) Changkat Lada, Perak.
Selain dibawa membeli-belah baju raya mengikut pilihan masing-masing di sebuah pasar raya di Manjung, keluarga berkenaan turut menerima wang tunai dan dirai bersama-sama komuniti Sungai Ranggam dan kariah masjid di Majlis Berbuka Puasa anjuran BERNAS.
”Golongan asnaf ini tidak kita lupakan agar mereka dapat meraikan keistimewaan bulan mulia Ramadan mahupun kemeriahan Aildilfitri seperti orang lain dan menerusi program ini, BERNAS berbesar hati dapat menceriakan hari mereka,” kata Ketua Jabatan Pengurusan Bekalan dan Skim BERNAS Mohamad Solhi Mohd Salleh dalam kenyataan sama.
Sementara itu, sebanyak 15 keluarga asnaf yang telah dikenal pasti turut menerima sumbangan kotak makanan keperluan harian seperti beras, susu, gula, minyak masak, di samping wang tunai pada majlis itu.
Pada program yang sama, BERNAS turut menyalurkan bantuan tunai kepada lima masjid iaitu Masjid Al-Muzakkirin Kampung Bukit Chawi, Masjid Nurul Hidayah, Masjid Muhajirin, Masjid Jumhuriah dan Surau Ibadur Rahman.
-- BERNAMA