Great Eastern Takaful Kongsi Rezeki Imarahkan Ramadan
KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Pengendali takaful keluarga Great Eastern Takaful Berhad mengimarah Ramadan melalui program GREAT Ramadan dengan menyantuni golongan kurang bernasib baik, kata Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful Shahrul Azlan Shahriman.
Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata program berkenaan memfokuskan sumbangan serta penajaan kepada anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Kebajikan Ulul Azmi dan Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia berupa kelengkapan pakaian untuk menyambut Hari Raya serta barangan keperluan rumah dan penjagaan diri.
“Sebagai sebuah organisasi yang amat prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik, kami berbesar hati untuk menyantuni golongan anak yatim dan asnaf lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia ini. Kegembiraan yang terpancar di wajah mereka amat bermakna buat kami kerana ia bertepatan dengan misi kami untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Semoga sambutan hari raya mereka pada tahun ini lebih meriah dengan pakaian serba baharu serta keperluan rumah dan barangan penjagaan diri termasuk sumbangan tunai untuk menambah baik penempatan mereka,” katanya, sambil menambah program berkenaan adalah dengan kerjasama Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin).
Program yang dilaksanakan untuk menceriakan dan menggembirakan di samping memberi pengalaman menguruskan persiapan sambutan Aidilfitri bersama ahli keluarga, seramai 120 orang anak yatim dan asnaf telah dibawa membeli-belah pakaian baharu diiringi 30 sukarelawan yang terdiri daripada warga kerja Great Estern Takaful.
Penghuni rumah kebajikan tersebut turut menyertai program Grand Iftar bersama hampir 1,000 perunding takaful cemerlang di Masjid Wilayah Kuala Lumpur yang menampilkan penceramah jemputan Datuk Mohd Kazim Elias dan Chef Ammar Al Ali dengan pengisian bermanfaat demi mencapai kejayaan bersama dalam meningkatkan penghayatan Ramadan.
Shahrul Azlan berkata dalam mengimarahkan bulan yang penuh kebaikan ini, Great Eastern Takaful juga memperuntukkan sebahagian sumbangan kepada pihak Masjid Wilayah Kuala Lumpur dengan harapan ia memberikan keselesaan dan memanfaatkan pengunjung masjid untuk beribadah.
“Secara keseluruhannya, inisiatif telah kami laksanakan ini sejajar dengan teras pembangunan komuniti yang menjadi satu daripada tunjang aktiviti kemasyarakatan Great Eastern Takaful,” katanya.
Selain itu, penglibatan lebih 300 perunding takaful serta pelanggan terpilih menerusi acara Shopping Bonanza yang berpeluang membeli-belah barangan keperluan asas yang disalurkan secara langsung kepada penerima terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
Menurut kenyataan itu, menuju pengakhiran Ramadan tahun ini, Great Estern Takaful mengambil kesempatan untuk menyantuni 50 orang penghidap kanser kanak-kanak di bawah Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser dalam satu majlis berbuka puasa.
Majlis berkenaan diharapkan dapat menceriakan para pejuang kanser kanak-kanak yang bersemangat tinggi dalam menjalani kehidupan serta rawatan mereka sebaik mungkin.
-- BERNAMA